Isnin, 3 Jun 2024 | 9:53am
Kepulan asap kelihatan di Rafah, selatan Gaza semalam di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Palestin. - Foto AFP
Kepulan asap kelihatan di Rafah, selatan Gaza semalam di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Palestin. - Foto AFP

Mesir bincang pembukaan semula sempadan utama Rafah di Gaza

KAHERAH: Pegawai Mesir, Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang bermesyuarat di Kaherah semalam menamatkan perbincangan mereka mengenai pembukaan semula lintasan Rafah di Gaza, menurut media Mesir, tanpa mengulas butiran perbincangan itu.

Lintasan Rafah di sempadan Mesir, saluran penting untuk bantuan masuk ke Semenanjung Gaza ditutup sejak tentera Israel merampasnya pada awal Mei.

Al-Qahera News, memetik seorang pegawai kanan yang dikaitkan dengan perisikan Mesir berkata ketika mesyuarat itu, delegasi keselamatan Mesir mengesahkan Israel bertanggungjawab sepenuhnya menghalang bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza.

Kaherah enggan menyelaraskan bantuan kemanusiaan melalui lintasan sejak pengambilalihan Israel.

Pegawai yang dipetik oleh Al-Qahera itu berkata, Mesir mengulangi tuntutannya supaya Israel berundur dari sempadan Palestin di persimpangan Rafah, bagi membolehkan operasi bantuan diteruskan.

Laporan itu tidak menyatakan sama ada rundingan di Kaherah memuktamadkan sebarang perjanjian.

Selepas perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bulan lalu, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi bersetuju untuk mengalihkan sementara operasi bantuan daripada Rafah dengan menghantarnya ke Gaza melalui persimpangan Kerem Shalom yang berdekatan Israel.

Pegawai kanan itu, berkata Mesir sudah meminta tindakan segera untuk membawa sekurang-kurangnya 350 trak bantuan ke Gaza setiap hari.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata sekurang-kurangnya 500 trak setiap hari diperlukan untuk memenuhi keperluan asas penduduk Gaza.

Bantuan semakin perlahan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kerana pihak berkuasa di Gaza sudah memberi amaran mengenai peningkatan kekurangan zat makanan yang boleh membawa maut di seluruh wilayah itu.

Hampir lapan bulan perang, operasi ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza sudah membunuh sekurang-kurangnya 36,439 orang, kebanyakannya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Perang itu tercetus ekoran serangan oleh Hamas pada 7 Oktober tahun lalu, yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas selatan Israel selatan, mengakibatkan kematian 1,189 orang, juga kebanyakannya orang awam, menurut angka rasmi Israel.

Berita Harian X