Sabtu, 1 Jun 2024 | 9:36am
Tentera Israel beroperasi di sebelah ibu pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) di Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Tentera Israel beroperasi di sebelah ibu pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) di Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Israel mesti hentikan kempen menentang UNRWA

BAITULMAQDIS: Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Philippe Lazzarini, berkata Israel 'mesti menghentikan kempen' menentang agensi itu.

"Peperangan di Gaza menyebabkan pengabaian secara terang-terangan terhadap misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk serangan keterlaluan ke atas pekerja, kemudahan dan operasi (UNRWA).

"Serangan ini mesti dihentikan dan dunia mesti bertindak untuk menggesa penjenayah yang melakukan perkara ini bertanggungjawab," katanya dalam satu rencana diterbitkan New York Times.

UNRWA yang berperanan menyelaraskan hampir semua bantuan kepada Gaza berdepan krisis sejak Januari apabila Israel menuduh kira-kira 12 orang daripada 13,000 pekerjanya di Gaza terbabit dalam serangan pada 7 Oktober lalu.

Tuduhan itu mendorong penggantungan pembiayaan kepada agensi itu secara tiba-tiba termasuk membabitkan penderma utamanya, AS selain sebahagian besar sekutu Baratnya.

Sebelum ini, UNRWA menerima banyak bantuan daripada pelbagai kerajaan, yang terhenti selepas tuduhan Israel itu.

Penduduk Palestin memeriksa kerosakan di sekolah gabungan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), selepas tentera Israel berundur dari kem pelarian Jabalia, berikutan serbuan di utara Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Penduduk Palestin memeriksa kerosakan di sekolah gabungan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), selepas tentera Israel berundur dari kem pelarian Jabalia, berikutan serbuan di utara Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Keadaan itu mengancam usaha agensi itu untuk menyampaikan bantuan di Gaza, walaupun beberapa pihak lain masih meneruskan komitmen mereka.

Kajian bebas UNRWA, yang diketuai bekas Menteri Luar Perancis, Catherine Colonna, mengenal pasti beberapa 'isu berkaitan kesaksamaan', namun menurutnya, Israel masih belum memberikan bukti berhubung dakwaan utamanya.

"Pegawai Israel bukan sahaja mengancam kerja kakitangan dan misi kami, mereka juga menyifatkan UNRWA sebagai pertubuhan pengganas yang memupuk ekstremisme serta melabel pemimpin PBB sebagai pengganas yang bersekongkol dengan Hamas," katanya.

Tambahnya, serangan ke atas UNRWA merebak ke timur Baitulmaqdis, di mana demonstrasi di luar perkarangan agensi itu kerap berlaku dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, malah ia semakin berbahaya, dengan sekurang-kurangnya dua serangan membabitkan pembakaran dilakukan.

Sementara itu, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil berat perbincangan di Knesset (Parlimen), Israel mengenai pengisytiharan UNRWA sebagai pertubuhan pengganas, menghapuskan imuniti dan keistimewaan kakitangannya.

"Kami menggesa pihak berkuasa Israel membenarkan UNRWA meneruskan tugas pentingnya selaras dengan mandat diberikan," katanya.

Minggu lalu, UNRWA menggantung pengedaran makanan di selatan Gaza termasuk Rafah, selepas Israel melancarkan serangan di bandar itu dan merampas zon penampan di sempadan antara Rafah dengan Mesir. - AFP

Berita Harian X