Rabu, 29 Mei 2024 | 10:16am

Korea Utara hantar 'propaganda' rentasi sempadan - Seoul

SEOUL: Korea Utara menurunkan 'propaganda' anti-Korea Selatan ke kawasan sempadan, menurut tentera Seoul hari ini dengan satu wilayah sudah mengeluarkan amaran meminta penduduk tinggal di dalam rumah.

Ketua Turus Bersama Seoul berkata, objek tidak dikenal pasti yang dipercayai risalah propaganda Korea Utara dikesan di kawasan sempadan Gyeonggi-Gangwon dan tentera sedang mengambil tindakan.

"Rakyat harus mengelak daripada melakukan aktiviti luar, tidak bersentuhan dengan mana-mana objek yang tidak diketahui dan melaporkannya kepada pangkalan tentera atau polis terdekat," katanya dalam satu kenyataan.

Lewat malam tadi, wilayah Gyeonggi turut mengeluarkan amaran menerusi pesanan ringkas kepada penduduk.

"Elakkan aktiviti luar dan laporkan (sebarang objek dari Korea Utara) ke pangkalan tentera apabila ia dikenal pasti," menurut pesanan ringkas itu.

Sejak Perang Korea 1950-1953 berakhir dengan gencatan senjata, kedua-dua negara kekal berperang secara teknikal dan dipisahkan oleh sempadan termasuk di Zon Demiliterisasi (DMZ).

Aktivis Korea Selatan adakalanya melepaskan belon membawa risalah propaganda anti-Kim Jong Un yang ditujukan untuk penduduk yang tinggal di utara sempadan.

Pyongyang sudah lama berang dengan kempen propaganda sedemikian, mungkin disebabkan kebimbangan kemasukan maklumat luar ke dalam masyarakatnya boleh menimbulkan ancaman kepada rejim Jong Un.

Ahad lalu Korea Utara memberi amaran akan bertindak balas dalam satu kenyataan dikeluarkan Agensi Berita Pusat Korea Utara.

"Tindakan tit-for-tat juga akan diambil terhadap taburan risalah dan sampah lain dilepaskan ROK (Korea Selatan) berhampiran kawasan sempadan," kata Timbalan Menteri Pertahanan, Kim Kang-il dalam kenyataan itu.

"Timbunan kertas buangan dan najis tidak lama lagi akan bertaburan di kawasan sempadan dan pedalaman ROK dan ia akan mengambil masa lama untuk menguruskannya," kata Kang-il.

Isnin lalu, Korea Utara cuba melancarkan satelit pengintip kedua ke orbit, namun ia berakhir dengan letupan di udara.

Berita Harian X