Selasa, 28 Mei 2024 | 9:23pm
Lapan pendaki, termasuk seorang warga China dan India, telah meninggal dunia di Gunung Everest pada musim semasa yang bermula pada Mac. - Foto AFP
Lapan pendaki, termasuk seorang warga China dan India, telah meninggal dunia di Gunung Everest pada musim semasa yang bermula pada Mac. - Foto AFP

Pendaki India meninggal dunia selepas cubaan menawan Everest, kematian kelapan musim ini

KATHMANDU: Seorang pendaki warga India yang diselamatkan dari Gunung Everest meninggal dunia, maklum seorang pegawai pelancongan Nepal hari ini.

Dengan perkembangan itu, ia menjadikan jumlah kematian musim ini membabitkan gunung tertinggi di dunia kepada lapan orang.

Banshi Lal, 46, diselamatkan dari pergunungan itu minggu lalu dan dibawa ke hospital dekat Kathmandu.

"Dia meninggal dunia di hospital semalam," kata Rakesh Gurung dari jabatan pelancongan.

Tiga mangsa iaitu seorang pendaki British dan dua juru pandu Nepal antara lapan tersenarai hilang tetapi dianggap mati.

Kematian terbaru itu berlaku ketika musim pendakian Gunung Everest menghampiri penghujungnya, dengan jumlah kematian agak rendah direkodkan berbanding tahun sebelum ini.

Tahun lalu merekodkan musim paling dahsyat di gunung itu dengan 18 kematian.

Tiga lagi pendaki yang maut termasuk seorang warga Romania ketika mendaki Gunung Lhotse yang berjiran dengan Gunung Everest.

Seorang lagi pendaki warga Perancis dan Nepal meninggal dunia di Gunung Makalu, puncak kelima tertinggi dunia.

Nepal dianggap 'rumah' bagi lapan daripada 10 puncak tertinggi di dunia dan tarikan itu menarik ratusan pengembara setiap musim bunga yang lazimnya suhu ketika itu panas, berangin dan tenang.

Semua kes kematian di Gunung Everest berlaku di kawasan atas 8,000 meter yang dikenali sebagai zon kematian, di mana udara nipis dan paras oksigen rendah, meningkatkan risiko penyakit ketinggian.

Pendaki biasanya mengambil masa berhari-hari untuk sampai ke puncak gunung setinggi 8,849 meter.

Mereka perlu bermalam di kem berbeza untuk berehat dan menyesuaikan diri. - AFP

Berita Harian X