Selasa, 28 Mei 2024 | 4:27pm
Seseorang mengambil gambar Gunung Fuji dari seberang jalan kedai serbaneka, beberapa jam sebelum pemasangan penghadang untuk menghalang pemandangan gunung terbabit untuk menghalang pelancong yang berkelakuan buruk, di bandar Fujikawaguchiko, wilayah Yamanashi. - Foto AFP
Seseorang mengambil gambar Gunung Fuji dari seberang jalan kedai serbaneka, beberapa jam sebelum pemasangan penghadang untuk menghalang pemandangan gunung terbabit untuk menghalang pelancong yang berkelakuan buruk, di bandar Fujikawaguchiko, wilayah Yamanashi. - Foto AFP

Pelancong tebuk lubang kecil pada jaring halang tangkap gambar Gunung Fuji

TOKYO: Pihak berkuasa di Jepun bertindak memasang jaring besar untuk menghalang pelancong daripada mengambil gambar Gunung Fuji.

Bagaimanapun, jaring yang dipasang seminggu lalu rosak kerana ada pihak tidak bertanggungjawab mencucuknya sehingga menghasilkan 10 lubang kecil.

Penghalang itu dipasang di tempat bergambar popular di bandar Fujikawaguchiko, di mana penduduk mengadu berlaku kesesakan pelancong asing.

Penduduk di situ turut rimas dengan pelancong berkenaan yang membuang sampah merata-rata, menceroboh serta melanggar peraturan lalu lintas.

Seorang pegawai majlis perbandaran hari ini memberitahu bahawa skrin yang diperbuat daripada jaring hitam berjaya menyuraikan orang ramai berhimpun untuk menangkap gambar di seberang jalan berhadapan sebuah kedai serbaneka.

Walaupun seorang pengawal keselamatan ditempatkan di situ dari jam 10 pagi sampai 4 petang, pegawai itu berkata ada pihak yang berani merosakkan jaring berkenaan dengan membuat lubang kecil.

"Ini mengenai adab. ia memalukan," katanya merujuk tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuat lubang yang boleh memuatkan jari semata-mata hendak mengambil gambar gunung berapi diselimuti salji di belakang kedai serbaneka di situ.

"Ada beberapa orang datang untuk melihat skrin itu sendiri. Tetapi kami (memasang jaring) mencapai tujuan untuk menghalang orang ramai daripada berhimpun di sana," katanya.

Pekan Fujikawaguchiko terletak berdekatan tasik gunung berapi yang indah, kini pihak berkuasa merancang untuk meletakkan kod QR pada penghalang untuk memperkenalkan destinasi pelancongan lain di kawasan itu sebagai alternatif.

Ditanya bila penghadang itu akan diturunkan, pegawai itu menjawab mungkin selepas pelancong semakin berkurang di hadapan kedai serbaneka itu.

Di Kyoto, terdapat juga gangguan apabila penduduk setempat mengadu mengenai pelancong yang bertindak mengganggu geisha di bandar purba itu.

Pada musim panas ini, pejalan kaki yang menggunakan laluan paling popular untuk mendaki Gunung Fuji bakal dikenakan bayaran 2,000 yen (RM59.83) seorang, ditambah derma 1,000 yen (RM29.91).

Bagaimanapun, ditetapkan had untuk penyertaan aktiviti itu kepada 4,000 orang bagi mengurangkan kesesakan. - AFP

Berita Harian X