Isnin, 27 Mei 2024 | 10:00pm
Suhu di Mohenjo Daro, satu daripada bandar utama purba di dunia di wilayah Sindh, direkodkan pada 53 darjah Celsius. - Foto AFP
Suhu di Mohenjo Daro, satu daripada bandar utama purba di dunia di wilayah Sindh, direkodkan pada 53 darjah Celsius. - Foto AFP

Wanita hamil, warga emas berisiko, Pakistan dilanda gelombang haba melebihi 50 darjah Celsius

ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan mengeluarkan amaran pada Isnin kepada wanita hamil dan warga emas mengenai bahaya gelombang haba yang melanda negara itu, dengan suhu melonjak 53 darjah Celsius.

"Intensiti, kekerapan dan tempoh gelombang haba di Pakistan semakin meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya. Wanita hamil, kanak-kanak dan warga emas adalah golongan yang terkesan," kata jurucakap Kementerian Perubahan Iklim, Muhammad Saleem kepada Agensi Berita Jerman (dpa).

Pada Ahad, suhu di Mohenjo Daro, satu daripada bandar utama purba di dunia di wilayah Sindh, direkodkan pada 53 darjah Celsius, menurut Jabatan Meteorologi Pakistan.

Suhu pada Mei adalah 5 hingga 7 darjah Celsius lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Saleem berkata gelombang haba dijangka berterusan sehingga akhir bulan ini, dengan dua lagi gelombang haba dijangka menjejaskan lebih banyak kawasan pada bulan Jun.

Beliau menambah bahawa indeks haba akan menjadi lebih buruk disebabkan oleh kekurangan kawasan hijau dan tumbuh-tumbuhan.

Kerajaan Pakistan mengarahkan penutupan sekolah,

menangguhkan peperiksaan, mengisytiharkan darurat di hospital dan menubuhkan ribuan kem bantuan haba akibat cuaca ekstrem ini.

Pakistan bertanggungjawab kurang daripada 1 peratus daripada pelepasan karbon global tetapi merupakan antara 10 negara yang paling terdedah kepada perubahan iklim.

Banjir kilat, hakisan tanah, hujan lebat, kemarau dan jerebu yang mengakibatkan kualiti udara rendah semakin meningkat di Pakistan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ratusan orang terbunuh setiap tahun di Pakistan dalam bencana yang disebabkan oleh iklim manakala ribuan kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian di negara yang menyumbang sedikit kepada pelepasan karbon global. - BERNAMA-dpa

Berita Harian X