Isnin, 27 Mei 2024 | 9:51am
Penunjuk perasaan di Jordan melaungkan slogan semasa demonstrasi berhampiran Kedutaan Israel di Amman, Jordan sebagai sokongan kepada rakyat Palestin. - Foto AFP
Penunjuk perasaan di Jordan melaungkan slogan semasa demonstrasi berhampiran Kedutaan Israel di Amman, Jordan sebagai sokongan kepada rakyat Palestin. - Foto AFP

Cubaan Iran seludup senjata ke Jordan dipatahkan

AMMAN: Jordan menggagalkan rancangan yang disyaki didalangi Iran, untuk menyeludup senjata ke dalam negara sekutu Amerika Syarikat (AS) itu bagi membantu penentang pemerintah beraja dengan melakukan sabotaj.

Menurut dua sumber Jordan yang mengetahui perkara itu, senjata terbabit dihantar oleh militia disokong Iran di Syria, ke cabang Ikhwanul Muslimin di Jordan, yang mempunyai kaitan dengan sayap tentera kumpulan Hamas Palestin.

Kiriman itu dirampas apabila anggota sel itu, warga Jordan berketurunan Palestin, ditangkap pada akhir Mac, kata mereka kepada Reuters.

Dakwaan plot dan penangkapan, yang dilaporkan di sini buat kali pertama, muncul tatkala ketegangan memuncak di Asia Barat dengan Israel yang disokong AS berperang di Gaza dengan Hamas.

Hamas dalam satu kenyataan, berkata ia tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana tindakan yang menyasarkan Jordan, sebaliknya hanya berperang dengan Israel.

Kedua-dua sumber Jordan yang enggan dikenali itu tidak menyatakan bagaimana tindakan sabotaj yang didakwa itu sedang dirancang kerana siasatan masih dijalankan dan operasinya dirahsiakan.

Mereka berkata, matlamat penyeludupan senjata itu adalah untuk menggugat kestabilan Jordan, sekali gus memburukkan lagi krisis serantau di Asia Barat.

Objek dilihat di ruang udara Amman, Jordan selepas Iran melancarkan dron ke arah Israel. - Foto REUTERS
Objek dilihat di ruang udara Amman, Jordan selepas Iran melancarkan dron ke arah Israel. - Foto REUTERS

Ini kerana Jordan menempatkan pangkalan tentera AS dan berkongsi sempadan dengan Israel serta Syria dan Iraq, kedua-duanya markas pejuang pemberontak yang disokong Iran.

Sumber itu juga tidak menyatakan jenis senjata yang dirampas, namun mendedahkan bahawa sejak beberapa bulan kebelakangan ini, perkhidmatan keselamatan telah banyak menggagalkan percubaan Iran dan sekutunya untuk menyeludup senjata.

Antaranya termasuk periuk api Claymore, bahan letupan C4 dan Semtex, senapang Kalashnikov serta roket Katyusha 107mm.

Kebanyakan aliran senjata sulit ke negara itu menuju ke wilayah Tebing Barat Palestin yang diduduki Israel, kata sumber Jordan.

Bagaimanapun, beberapa senjata – termasuk yang dirampas pada Mac – bertujuan untuk digunakan di Jordan oleh cabang Ikhwanul Muslimin, yang bersekutu dengan pejuang Hamas, kata mereka.

Menurut sumber sama, pihak berkuasa Jordan percaya Iran dan sekutunya seperti Hamas dan Hizbullah, cuba merekrut anggota muda radikal kumpulan itu di Jordan bagi menentang Israel dan AS, dalam usaha meluaskan rangkaian pasukan bersekutu serantau Teheran.

Seorang wakil kanan Ikhwanul Muslimin Jordan mengesahkan, beberapa anggotanya ditangkap pada Mac kerana memiliki senjata.

Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Namun, beliau berkata apa sahaja yang mereka lakukan tidak diluluskan oleh kumpulan itu dan mengesyaki mereka menyeludup senjata ke Tebing Barat dan bukannya merancang serangan di Jordan.

Kebanyakan daripada 11 juta penduduk Jordan berasal dari Palestin kerana Jordan menerima berjuta-juta pelarian Palestin yang melarikan diri dari tanah air mereka dalam pergolakan berikutan penubuhan Israel.

Krisis di Gaza sekarang meletakkan Jordan dalam kedudukan sukar, bergelut untuk mendamaikan sokongan perjuangan Palestin dengan pakatan AS yang sudah lama wujud dan pengiktirafan Israel selama berdekad-dekad.

Peperangan Israel-Palestin mencetuskan kemarahan penduduk Jordan, dengan penunjuk perasaan menggesa hubungan dengan Israel diputuskan dan demonstrasi jalanan meletus dalam minggu-minggu kebelakangan ini.

April lalu, selepas Jordan menyertai usaha diketuai AS bagi membantu Israel menjatuhkan dron dan peluru berpandu ditembak oleh Iran, pengkritik menyifatkan Jordan sebagai 'pengkhianat' dan 'boneka Barat'.

Keputusan Jordan menyertai kuasa Barat dalam menjatuhkan dron Iran yang menuju ke Israel sebahagiannya didorong oleh kebimbangan dalam kalangan pegawai bahawa Jordan boleh diheret ke dalam perjuangan strategik Iran menentang Israel.

Menurut bekas brigedier jeneral dalam Direktorat Perisikan Am Jordan, Saud Al Sharafat, Raja Jordan, Raja Abdullah II, menyokong penubuhan negara Palestin, namun beberapa ahli politik sayap kanan Israel membayangkan Jordan akan menjadi negara alternatif Palestin. - REUTERS

Berita Harian X