Isnin, 27 Mei 2024 | 7:48am
Kebakaran memusnahkan kem pelarian di Rafah di selatan Semenanjung Gaza, berikutan serangan Israel ke atas kawasan ‘zon selamat’ untuk penduduk Palestin yang dipindahkan. - Foto REUTERS
Kebakaran memusnahkan kem pelarian di Rafah di selatan Semenanjung Gaza, berikutan serangan Israel ke atas kawasan ‘zon selamat’ untuk penduduk Palestin yang dipindahkan. - Foto REUTERS

Israel bom kem pelarian di Rafah, 35 penduduk Palestin maut

KAHERAH: Serangan udara Israel semalaman membunuh sekurang-kurangnya 35 penduduk Palestin dan mencederakan puluhan lagi di kem pelarian Rafah di selatan Semenanjung Gaza, kata pegawai Kementerian Kesihatan Palestin.

Tentera Israel berkata, tentera udaranya menyerang perkarangan Hamas di Rafah dan serangan itu dilakukan dengan 'peluru sasaran tepat berdasarkan perisikan yang sahih'.

"Serangan kali ini mengorbankan ketua kakitangan Hamas untuk Tebing Barat dan seorang lagi pegawai kanan yang mendalangi serangan maut ke atas Israel.

"Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyedari ada laporan bahawa serangan ini menyebabkan kebakaran dan ada orang awam yang menjadi mangsa. Kami sedang menyiasat isu ini," katanya.

Jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas, Ashraf Al-Qidra, berkata 35 orang terbunuh dan puluhan yang lain, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, cedera dalam serangan itu.

Serangan dilancarkan di kawasan kejiranan Tel Al-Sultan di barat Rafah yang diiktiraf Israel sebagai zon selamat, di mana ribuan pelarian Palestin berlindung selepas melarikan diri dari kawasan timur selepas tentera Israel memulakan serangan darat sejak dua minggu lalu.

Orang ramai membersihkan sisa runtuhan berikutan serangan peluru berpandu Russia ke atas Hospital Kanak-kanak Ohmatdyt di Kyiv, Ukraine. - Foto REUTERS
Orang ramai membersihkan sisa runtuhan berikutan serangan peluru berpandu Russia ke atas Hospital Kanak-kanak Ohmatdyt di Kyiv, Ukraine. - Foto REUTERS

Susulan serngan itu, Hamas dalam satu kenyataan, menggesa rakyat Palestin 'bangkit dan berarak' menentang 'pembunuhan beramai-ramai' tentera Israel di Rafah, selatan Gaza.

"Memandangkan pembunuhan beramai-ramai Zionis dilakukan oleh tentera penceroboh di kem pelarian... kami menggesa rakyat kami di Tebing Barat, Baitulmaqdis, wilayah yang diduduki, dan di luar negara untuk bangkit serta berarak dengan marah menentang kekejaman ini," katanya.

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah berkata hospital lapangannya di Rafah menerima kemasukan mangsa, dan hospital lain juga menerima sejumlah besar pesakit.

Pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri menyifatkan serangan di Rafah sebagai 'pembunuhan kejam lagi ngeri' dan menuduh Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab kerana membantu Israel dengan senjata dan wang.

"Serangan udara membakar khemah, menyebabkannya cair dan melekat pada mayat mangsa yang ditemui rentung ," kata salah seorang penduduk yang tiba di hospital Kuwait di Rafah.

Tentera Israel membunuh 81 rakyat Palestin dan mencederakan 223 yang lain dalam tempoh 24 jam yang lalu, meningkatkan jumlah keseluruhan kematian kepada 35,984 dan kecederaan kepada 80,643 sejak konflik Palestin-Israel tercetus pada Oktober 2023.

Jumlah mangsa juga dikhuatiri jauh lebih tinggi kerana masih ramai yang terperangkap di bawah timbunan runtuhan bangunan susulan pengeboman bertalu-talu IDF dan kekurangan pasukan penyelamat.

Difahamkan, serangan terbaharu Israel itu adalah bagi membalas dendam terhadap Hamas yang melancarkan serangan roket terhadap Tel Aviv semalam buat kali pertama dalam tempoh hampir empat bulan.

Asap dan api menyelubungi kawasan berhampiran Kiryat Shmona, Israel, dekat sempadannya dengan Lubnan, berikutan serangan roket Hizbullah. - Foto REUTERS
Asap dan api menyelubungi kawasan berhampiran Kiryat Shmona, Israel, dekat sempadannya dengan Lubnan, berikutan serangan roket Hizbullah. - Foto REUTERS

Sekurang-kurangnya lapan roket dilancarkan dari kawasan Rafah di selatan Gaza, kata tentera Israel, sambil menambah bahawa ada beberapa yang telah dipintas dan menurut laporan Al Jazeera serta BBC, setakat ini tiada kecederaan dilaporkan.

Siren roket dibunyikan di bandar dan pekan lain, termasuk Herzliya dan Petah Tikva.

Media Israel menyiarkan rakaman serpihan peluru berpandu di taman sebuah bangunan di Herzliya.

Sayap tentera Hamas, Briged al-Qassam, mengaku melancarkan serangan peluru berpandu 'besar' ke atas Tel Aviv di saluran Telegramnya.

Sementara itu, Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin Di Asia Barat (UNRWA) dalam hantarannya di laman X (dahulunya Twittter) berkata konflik di Gaza terus menjadi perang ke atas orang awam.

"Kematian orang awam, pemindahan, pemusnahan rumah dan infrastruktur awam yang penting terus berlanjutan tanpa henti, tiada tempat yang selamat di Gaza, kita memerlukan gencatan senjata sekarang," katanya. - AGENSI

Berita Harian X