Ahad, 26 Mei 2024 | 5:01pm
Trak bantuan kemanusiaan ke Gaza. - Foto AFP
Trak bantuan kemanusiaan ke Gaza. - Foto AFP

Trak bantuan dari Mesir masuk Gaza melalui lintasan Kerem Shalom

KAHERAH: Trak bantuan dari Mesir mula memasuki Semenanjung Gaza hari ini melalui Lintasan Kerem Shalom yang dikawal Israel, lapor media berkaitan kerajaan Al-Qahera News.

Sebanyak 200 trak bergerak dari bahagian Mesir di sempadan Rafah, yang ditutup sejak awal bulan ini apabila Israel merampas bahagian terminal Palestin menuju ke Lintasan Kerem Shalom, kira-kira empat kilometer ke selatan.

Ia berikutan Mesir enggan menyelaraskan bantuan melalui Rafah selagi tentera Israel mengawal operasi di bahagian Palestin.

Namun, pada Jumaat, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menerusi panggilan dengan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS) Joe Biden bersetuju membenarkan bantuan melalui Kerem Shalom, pintu masuk lain ke selatan Gaza, menurut Rumah Putih.

Bagaimanapun, Al-Qahera News tidak menyatakan jumlah trak telah melalui pemeriksaan ke Gaza yang terkepung, tetapi melaporkan 'empat trak bahan api' sudah melintasi dan menuju ke hospital.

Semua bantuan dari Mesir diperiksa oleh pihak berkuasa Israel dan kemudiannya diagihkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Baki daripada 200 trak itu 'dijangka menyeberangi Gaza hari ini, kata Ketua Bulan Sabit Merah Mesir di Al-Arish, Khaled Zayed.

Al-Arish ialah tempat sebahagian besar bantuan tiba. - AFP

Berita Harian X