Sabtu, 25 Mei 2024 | 7:31pm
Asap mengepul berikutan pengeboman Israel di Jabalia di utara Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Asap mengepul berikutan pengeboman Israel di Jabalia di utara Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Israel ingkar perintah mahkamah tertinggi PBB supaya hentikan serangan, bom Semenanjung Gaza

RAFAH: Israel hari ini terus membedil Semenanjung Gaza termasuk Rafah, walaupun mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memerintah supaya tentera berkenaan supaya 'segera menghentikan' serangan terhadap bandar selatan itu.

Pada masa sama, usaha baharu sedang dijalankan di Paris bertujuan mendapatkan gencatan senjata dalam perang yang dicetuskan oleh serangan kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel.

Dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan yang mendakwa operasi ketenteraan Israel mengakibatkan 'pembunuhan beramai-ramai', membuatkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memerintahkan Israel menghentikan serangan Rafah dan menuntut pembebasan segera tebusan yang masih berada di tangan pejuang Palestin.

ICJ yang berpangkalan di Hague, yang boleh mengeluarkan perintah yang mengikat secara sah tetapi tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan langsung, juga mengarahkan Israel supaya terus membuka lintasan Rafah iaitu persimpangan antara Mesir dan Gaza, yang ditutup Israel sebelum menghantar tentera dan kereta kebal ke bandar yang dikepung awal bulan ini.

Dalam pada itu, Israel tidak memberi petunjuk pihaknya sedang bersedia untuk mengubah haluan di Rafah, dengan menegaskan mahkamah membuat kesilapan.

"Israel tidak dan tidak akan menjalankan operasi ketenteraan di kawasan Rafah yang mewujudkan keadaan hidup yang boleh menyebabkan kemusnahan penduduk awam Palestin secara keseluruhan atau sebahagiannya," kata Penasihat Keselamatan Israel, Tzachi Hanegbi dalam satu kenyataan bersama jurucakap Kementerian Asing Israel.

Hamas, kumpulan Islam yang disokong Iran yang memerintah Gaza sejak 2007, menyambut baik keputusan ICJ ke atas Rafah tetapi mengkritik keputusannya untuk mengecualikan seluruh wilayah Palestin daripada perintah itu.

Di sebalik keputusan ICJ, Israel tetap melakukan serangan ke atas Semenanjung Gaza pada pagi ini ketika pertempuran semakin meruncing antara tentera dan sayap bersenjata Hamas.

Saksi Palestin dan pasukan AFP melaporkan serangan Israel di Rafah dan pusat bandar Deir al-Balah.

"Kami berharap keputusan mahkamah akan memberi tekanan kepada Israel untuk menamatkan perang pemusnahan ini kerana tiada apa yang tinggal di sini," kata Oum Mohammad Al-Ashqa, seorang wanita Palestin dari Kota Gaza yang dipindahkan ke Deir al-Balah disebabkan perang.

Sementara itu, dalam keputusannya, ICJ berkata Israel mesti 'segera menghentikan serangan ketenteraannya dan sebarang tindakan lain di Gabenor Rafah, yang mungkin menimbulkan keadaan hidup kepada kumpulan Palestin di Gaza yang boleh membawa kemusnahan fizikalnya secara keseluruhan atau sebahagian'.

Mahkamah itu memerintahkan Israel membenarkan penyiasat yang 'diberi mandat PBB akses tanpa halangan' ke Gaza untuk meneliti dakwaan pembunuhan beramai-ramai.

Ia juga memerintahkan Israel supaya membuka persimpangan Rafah untuk 'peruntukan tanpa halangan' pada skala bantuan kemanusiaan dan juga menggesa 'pembebasan segera dan tanpa syarat' tebusan yang ditahan oleh Hamas di Gaza.

Perang Gaza meletus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober mengakibatkan kematian lebih 1,170 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Pejuang Hamas mengambil 252 tebusan, 121 daripadanya kekal di Gaza, termasuk 37 yang dikatakan tentera sudah meninggal dunia.

Serangan balas Israel membunuh sekurang-kurangnya 35,857 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut data dari Kementerian Kesihatan wilayah kendalian Hamas.

Semalam, tentera Israel dilaporkan berkata, mayat tiga tebusan iaitu Chanan Yablonka Israel, Michel Nisenbaum dari Brazil-Israel, dan Orion Hernandez Radoux Perancis-Mexican ditemui di utara Gaza.

Israel berada di bawah tekanan antarabangsa yang semakin meningkat berhubung serangannya di Gaza.

Keputusan ICJ dibuat beberapa hari selepas Ireland, Sepanyol, dan Norway menyatakan mereka akan mengiktiraf secara rasmi negara Palestin minggu depan dan pendakwaraya ICJ memohon mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pemimpin tertinggi Hamas kerana disyaki melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.

Dari segi diplomatik, usaha tetap diteruskan untuk memperoleh gencatan senjata pertama di Gaza sejak gencatan senjata selama seminggu pada November yang menyaksikan lebih 100 tebusan dibebaskan sebagai pertukaran untuk 240 tebusan Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), Bill Burns dijangka bertemu wakil Israel di Paris dalam usaha untuk melancarkan semula rundingan, kata sumber Barat yang rapat dengan isu itu.

Secara berasingan, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menerima usul Perdana Menteri Qatar dan Menteri Luar Arab Saudi, Mesir dan Jordan semalam untuk mendesak gencatan senjata, menurut Kaherah.

Presiden Perancis, berkata mereka mengadakan perbincangan mengenai perang Gaza dan cara untuk menubuhkan negara Palestin bersama Israel.

Diplomat tertinggi Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken juga bercakap dengan menteri kabinet perang Israel, Benny Gantz mengenai usaha baharu untuk mencapai gencatan senjata dan membuka semula lintasan sempadan Rafah, kata Washington.

Rundingan gencatan senjata membabitkan pengantara AS, Mesir dan Qatar berakhir sejurus selepas Israel melancarkan operasi Rafah, walaupun pejabat Netanyahu minggu ini berkata kabinet perang meminta delegasi Israel 'untuk meneruskan rundingan bagi pemulangan tebusan'.

Tentera darat Israel mula bergerak ke Rafah sejak awal bulan ini, menentang pembangkang global. Sejak itu , Israel mengarahkan pemindahan besar-besaran dari Rafah dengan PBB mengatakan lebih 800,000 orang melarikan diri.

Tentera mengambil alih bahagian diduduki Palestin di sempadan Rafah yang melintasi Mesir, seterusnya memperlahankan penghantaran bantuan secara sporadis untuk 2.4 juta penduduk Gaza.

Tentera AS juga membina jeti sementara di pantai Gaza untuk menerima bantuan melalui laut yang menurut jurucakap PBB menghantar 97 trak bantuan selepas 'permulaan sukar' dalam tempoh seminggu lalu.

Situasi keselamatan dan kemanusiaan di wilayah itu kekal membimbangkan dengan risiko kebuluran dan kebanyakan hospital tidak lagi berfungsi. Ketua Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths menerusi laman media sosial X, semalam berkata, keadaan telah mencapai 'a moment of clarity'.

"Pada masa rakyat Gaza merenung kebuluran… adalah lebih kritikal daripada sebelumnya untuk menyahut gesaan yang dibuat sejak tujuh bulan lalu, membebaskan tebusan dan bersetuju dengan gencatan senjata. Akhiri mimpi ngeri ini," katanya. - AFP

Berita Harian X