Jumaat, 24 Mei 2024 | 9:27am
Penduduk Palestin berkerumun di jalan ketika asap berkepul berhampiran akibat serangan Israel di Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Penduduk Palestin berkerumun di jalan ketika asap berkepul berhampiran akibat serangan Israel di Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Israel serang Rafah lagi, puluhan penduduk Palestin terbunuh

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 60 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan bom terbaharu Israel di seluruh Semenanjung Gaza sejak semalam, terutama dalam operasi pasukan pertahanan Israel (IDF) di Rafah.

Menurut pegawai kesihatan Hamas, tentera Israel sekali lagi melancarkan pertempuran baharu di bandar selatan Rafah bagi memerangi pasukan pejuang Palestin itu.

Penduduk melaporkan kereta kebal Israel dilihat bergerak ke tenggara Rafah, mengepung daerah barat bandar Yibna dan meneruskan operasi ketenteraan di tiga kawasan pinggir timur.

"Tentera Israel berada di pinggir Yibna yang padat dengan penduduk dan cuba bergerak lebih jauh ke barat. Setakat ini mereka belum memasukinya.

"Kami mendengar letupan dan melihat asap hitam menjulang dari kawasan yang sudah dicerobohi tentera. Ia satu lagi keadaan sukar yang terpaksa kami tempuh," katanya kepada Reuters.

Ratusan ribu rakyat Palestin terpaksa melarikan diri dari kediaman masing-masing di pinggir utara dan selatan Gaza, bermula bulan ini, susulan serangan Israel secara serentak.

Ia turut menyebabkan penghijrahan baharu rakyat Palestin dengan laluan akses utama untuk mendapatkan bantuan terputus, dan dikhuatiri meningkatkan risiko kebuluran.

Seorang kanak-kanak perempuan menangis sambil menggendong bayi yang terkorban dalam serangan Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Seorang kanak-kanak perempuan menangis sambil menggendong bayi yang terkorban dalam serangan Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Sementara itu, Israel terus memberi alasan tidak mempunyai pilihan selain menyerang Rafah untuk menumpaskan batalion terakhir pejuang Hamas yang dipercayai berlindung di kawasan itu.

Jurucakap Ketua Tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata serangan mereka di Rafah dilakukan secara bersasar.

"Hamas berada di Rafah, Hamas menahan tebusan di Rafah, itulah sebabnya pasukan kami bergerak ke sana. Kami melakukannya secara bersasar dan tepat.

"Kami melindungi orang awam Gaza di Rafah daripada menjadi benteng perlindungan atau 'perisai manusia' untuk Hamas, dengan menggalakkan mereka berpindah sementara ke kawasan lebih selamat.

"Sehingga kini kami menghapuskan puluhan pejuang Hamas, memusnahkan sejumlah besar infrastruktur termasuk menemui terowong perlindungan mereka," katanya dalam kenyataan, semalam.

Hagari berkata, tentera Israel sudah menumpaskan kira-kira 180 pejuang Hamas di Rafah setakat ini.

Tentera Israel turut meningkatkan serangan darat di Jabalia, selain beberapa kawasan kediaman dimusnahkan dan menyerang kawasan berhampiran bandar Beit Hanoun melalui operasi besar-besaran sejak beberapa bulan lalu.

Penduduk Palestin beratur menunggu untuk mengumpul air minuman ketika konflik antara Israel dan Hamas berterusan, di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Penduduk Palestin beratur menunggu untuk mengumpul air minuman ketika konflik antara Israel dan Hamas berterusan, di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Menurut Israel, mereka terpaksa kembali, untuk menghalang Hamas daripada menjadikan kawasan itu sebagai pusat pengumpulan.

"Pasukan tentera mula melakukan serbuan yang disasarkan di Beit Hanoun untuk menghapuskan Hamas, mencari dan menyerang infrastruktur mereka termasuk yang tersembunyi," katanya.

Media Hamas melaporkan, seramai 12 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara di sebuah premis milik Kementerian Kebajikan di timur bandar Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza, manakala 10 lagi terbunuh dalam serangan udara membabitkan bangunan kediaman di bandar Gaza.

Pakar perubatan menyatakan bekalan elektrik dihentikan di Hospital Al-Aqsa di Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza, kecuali di unit rawatan rapi dan unit neonatal.

Sementara itu, Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menjangkakan lebih 800,000 penduduk Palestin melarikan diri dari Rafah sejak Israel mula menyasarkan bandar itu pada awal bulan ini.

Ketua Tindakan Kecemasan Majlis Pelarian Norway, di Gaza, Suze van Meegan, berkata namun masih ramai orang awam yang terperangkap di sana.

"Kota Rafah kini umpama terbahagi kepada tiga dunia yang amat berbeza, di bahagian timur adalah zon perang, di bahagian tengah adalah bandar tidak berpenghuni manakala di barat dipenuhi dengan orang ramai yang hidup dalam keadaan menyedihkan," katanya. - REUTERS

Berita Harian X