Rabu, 22 Mei 2024 | 6:27pm
Pihak berkuasa sedang menyiasat wabak selesema burung di ladang telur Victoria. - Foto AGENSI
Pihak berkuasa sedang menyiasat wabak selesema burung di ladang telur Victoria. - Foto AGENSI

Australia lapor kes selsema burung H5N1 pertama jangkiti manusia

SYDNEY: Australia melaporkan kes pertama manusia dijangkiti selesema burung H5N1 membabitkan seorang kanak-kanak yang menurut pihak berkuasa bahawa kanak-kanak berkenaan telah dijangkiti di India, namun telah pulih sepenuhnya.

Strain H5N1 selesema burung telah melanda dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mengorbankan berbilion-bilion burung yang diternak dan liar serta merebak kepada puluhan spesies mamalia.

Pihak berkuasa kesihatan di negeri Victoria di tenggara Australia berkata, pengesanan awal wabak berkenaan tidak dapat dikenali pasti dan terdapat peluang yang sangat rendah untuk orang lain dijangkiti kerana jangkitan selsema berkenaan tidak mudah merebak antara manusia.

Ketua Pegawai Kesihatan Victoria, Dr Claire Looker, berkata kes berkenaan adalah kes pertama manusia yang disahkan dijangkiti selsema burung.

"Ia merupakan pengesanan pertama strain H5N1 pada manusia atau haiwan di negara ini.

"Kanak-kanak itu mengalami jangkitan teruk, bagaimanapun telah sihat dan pulih sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, seorang pekerja ladang di Texas dilaporkan positif virus berkenaan selepas melakukan ujian saringan pada awal tahun ini kerana virus terbabit dipercayai telah merebak melalui kumpulan lembu.

Australia adalah satu-satunya benua di mana haiwan setakat ini kekal bebas daripada virus selesema burung H5N1.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Australia berkata selesema burung jenis lain yang sangat patogenik telah dikesan di ladang telur berhampiran Melbourne.

Ketua Pegawai Veterinar Victoria, Graeme Cooke, berkata ujian makmal pertama menunjukkan bahawa virus itu adalah strain H7 yang belum dikenalpasti yang mungkin datang daripada populasi burung liar dan pernah dilihat di Australia sebelum ini. - REUTERS

Berita Harian X