Selasa, 21 Mei 2024 | 2:59pm
Ketua Hamas Gaza, Yahya Al-Sinwar dan Ketua Hamas, Ismail Haniyeh serta pemimpin kanan Hamas. - Foto REUTERS
Ketua Hamas Gaza, Yahya Al-Sinwar dan Ketua Hamas, Ismail Haniyeh serta pemimpin kanan Hamas. - Foto REUTERS

Israel, Hamas berang syor ICC tangkap pemimpinnya kerana jenayah perang

RAFAH: Israel dan Hamas yang terbabit dalam pertempuran sengit di Semenanjung Gaza, mengecam hebat syor kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) supaya pemimpin mereka ditahan atas tuduhan melakukan jenayah perang.

Pendakwa ICC, Karim Khan berkata, beliau sudah memohon waran tangkap terhadap pemimpin tertinggi Israel dan Hamas berhubung konflik itu.

Israel membidas tindakan menyasarkan Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, sebagai 'menghina sejarah' manakala kumpulan pejuang Hamas berkata pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu.

Netanyahu berkata, beliau dengan jijik 'menolak perbandingan pendakwa raya The Hague antara tindakan Israel mempertahankan diri dan pembunuh besar-besaran dilakukan Hamas.

Permohonan waran tangkap turut dikemukakan bagi pemimpin Hamas termasuk Ismail Haniyeh yang berpangkalan di Qatar dan ketua di Gaza, Yahya Sinwar serta Mohammed Deif, atas tindakan melancarkan serangan 7 Oktober di selatan Israel.

Karim menegaskan, undang-undang antarabangsa dan undang-undang konflik bersenjata terpakai kepada semua.

"Tiada askar, komander atau pemimpin awam boleh bertindak tanpa hukuman," katanya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kiri) dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kiri) dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant. - Foto REUTERS

Sekiranya waran itu diberikan oleh hakim ICC, bermakna mana-mana daripada 124 negara anggota ICC secara teknikalnya wajib menangkap pemimpin Israel dan Hamas yang berkenaan, sekiranya mereka pergi ke sana.

Sementara itu di Washington, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menyelar tindakan ICC yang bersedia mengeluarkan waran tangkap ke atas Netanyahu dan menteri-menteri Kabinetnya.

Biden turut menyifatkan permohonan pendakwa raya ICC untuk keluarkan waran tangkap terhadap pemimpin Israel sebagai keterlaluan

"Apa sahaja yang didakwa oleh pendakwa ini, tiada persamaan – langsung tiada - antara Israel dan Hamas. Kami akan sentiasa berdiri bersama Israel menentang ancaman terhadap keselamatannya," kata Biden dalam kenyataan dikeluarkan Rumah Putih.

Pentadbiran Biden berulang kali menyatakan sokongan 'kukuh' kepada Israel ketika perang dengan Hamas dan pada masa sama, lantang menyuarakan kebimbangan terhadap angka kematian orang awam yang tinggi di Gaza selain membantah sekatan bantuan kemanusiaan.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pula berkata, AS pada asasnya menolak pengumuman mahkamah sambil menegaskan, ia boleh menjejaskan usaha berterusan untuk mencapai gencatan senjata dan perjanjian tebusan antara pihak yang bertelagah.

Pentadbiran Biden juga mempersoalkan sama ada ICC mempunyai bidang kuasa untuk mendapatkan arahan penahanan itu manakala Speaker Dewan Rakyat, Mike Johnson menyifatkan usaha ICC sebagai 'tidak berasas dan tidak sah'. - AGENSI

Berita Harian X