Isnin, 20 Mei 2024 | 10:22am
Wilayah barat Kabul, Afghanistan yang dilanda kabus tebal. - Foto AFP
Wilayah barat Kabul, Afghanistan yang dilanda kabus tebal. - Foto AFP

Daesh mengaku serang, bunuh pelancong Sepanyol di Afghanistan

KABUL: Daesh mengaku bertanggungjawab melakukan serangan menyasarkan pelancong asing, yang mengorbankan enam mangsa, masing-masing tiga warga Sepanyol dan bakinya Afghanistan.

Sekumpulan pelancong itu ditembak ketika membeli-belah di pasar di Bamiyan, kira-kira 180 kilometer (km) ke barat ibu negara Kabul.

Daesh menerusi kenyataan disiarkan di Telegram berkata, 'pihaknya menembak pelancong Kristian dan rakan mereka daripada aliran Syiah menggunakan mesingan' di Bamiyan, Jumaat lalu.

Katanya, mereka menyerang 'bas pelancong membawa rakyat dari gabungan negara berkenaan', merujuk kepada gabungan pimpinan Amerika Syarikat (AS) yang memerangi Daesh di Asia Barat.

"Serangan ini selari sengan arahan pemimpin Daesh ke atas rakyat dari negara gabungan berkenaan biarpun di mana sahaja mereka berada," katanya.

Serangan terbabit dipercayai yang pertama dilakukan terhadap pelancong asing, sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021 di negara berkenaan, yang hanya diiktiraf beberapa negara asing secara diplomatik.

Kerajaan Taliban masih belum diiktiraf secara rasmi oleh mana-mana kerajaan asing, namun sektor pelancongannya yang masih baru sudah mula maju, dengan lebih 5,000 pelancong asing melawat Afghanistan pada 2023, menurut angka rasmi.

Semakin ramai pelancong mengunjungi Afghanistan susulan keadaan keselamatan yang bertambah baik sejak Taliban mengambil alih pentadbiran negara selepas pengunduran Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, pegawai Taliban mengesahkan mereka sudah menahan tujuh suspek sejurus selepas serangan pada Jumaat lalu itu.

Kebanyakan negara Barat menasihatkan warga mereka supaya tidak mengunjungi Afghanistan dan memberi amaran mengenai peningkatan risiko penculikan serta serangan.

Kumpulan yang disasarkan dalam serangan Jumaat lalu merangkumi 13 pelancong dari pelbagai negara, termasuk enam warga Sepanyol.

Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares, semalam berkata tiga warganya yang maut dalam serangan itu berasal dari Catalonia, masing-masing seorang ibu dan anak perempuan serta lelaki berusia 63 tahun yang bekerja sebagai jurutera.

Selain itu, seorang pesara warga Sepanyol, 82, cedera parah dan dirawat di hospital kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Itali, Emergency, di Kabul.

Beliau menerusi kenyataan di laman X semalam, turut mengecam serangan terbabit, selain sedia bekerjasama untuk memastikan pelaku jenayah terbabit diihadapkan ke muka pengadilan.

"Mangsa semakin stabil daripada kecederaan dialaminya, namun keadaannya masih belum dapat dipastikan.

"Dua rakyat Sepanyol yang terselamat sudah keluar dari Afghanistan. Operasi membawa balik mangsa sedang dilakukan," katanya.

Diplomat Sepanyol sudah berada di Afghanistan dan sedang berusaha membawa pulang mayat mangsa yang terkorban selain memindahkan mangsa yang cedera menerusi kerjasama dengan delegasi Kesatuan Eropah (EU) di Kabul. - AFP

Berita Harian X