Jumaat, 17 Mei 2024 | 11:16pm
Nepal mengeluarkan lebih 900 permit untuk gunungnya tahun ini, termasuk 419 untuk Everest, memperoleh lebih daripada AS$5 juta dalam bentuk royalti. - Foto REUTERS
Nepal mengeluarkan lebih 900 permit untuk gunungnya tahun ini, termasuk 419 untuk Everest, memperoleh lebih daripada AS$5 juta dalam bentuk royalti. - Foto REUTERS

Mayat pendaki Mongolia yang hilang ditemui di Everest

KATHMANDU: Pasukan penyelamat menemui mayat seorang daripada dua pendaki Mongolia yang dilaporkan hilang di Gunung Everest hari ini, kata penganjur ekspedisi, kematian pertama disahkan di puncak tertinggi dunia pada musim pendakian gunung itu.

Usukhjargal Tsedendamba, 53, dan Purevsuren Lkhagvajav, 31, kali terakhir dihubungi pada petang Ahad dari Kem 4, yang terletak pada jarak kurang dari satu kilometer di bawah puncak.

Mayat Tsedendamba ditemui di sekitar ketinggian 8,600 meter (m) pagi tadi selepas beberapa hari operasi mencari dan menyelamat yang terjejas akibat cuaca buruk.

"Nampaknya dia 'pulang' dari puncak, pencarian diteruskan untuk pendaki yang lain," Lakpa Sherpa dari 8K Expeditions, yang mengeluarkan permit pendakian kedua-dua mangsa memberitahu AFP.

Sherpa berkata, kedua-dua lelaki itu mendaki tanpa pemandu dan walkie-talkie mereka ditemui di dalam khemah.

Jabatan Pelancongan Nepal dalam satu kenyataan pada Selasa, berkata bahawa pasukan lain melihat pasangan itu 'menuju ke puncak Everest' pada pagi Isnin.

Ratusan pendaki berpusu-pusu ke Nepal - 'rumah' kepada lapan daripada 14 puncak tertinggi di dunia pada pendakian musim bunga apabila suhu lebih panas dan angin biasanya tenang.

Nepal mengeluarkan lebih 900 permit untuk gunungnya tahun ini, termasuk 419 untuk Everest, memperoleh lebih daripada AS$5 juta dalam bentuk royalti.

Kira-kira 80 pendaki sudah pun sampai ke puncak Everest setinggi 8,849m selepas pasukan mengikat tali mencapai puncak bulan lalu.

Dua pendaki meninggal dunia di Makalu, puncak kelima tertinggi di dunia, tahun ini.

Pendaki Perancis, Johnny Saliba, 60, meninggal dunia pada ketinggian 8,120m semasa pendakian ke puncak pada Ahad.

Seorang pemandu Nepal berusia 53 tahun meninggal dunia di puncak yang sama minggu lalu ketika turun dari puncak. - AFP

Berita Harian X