Jumaat, 17 Mei 2024 | 10:25pm
Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik dan pelayaran serta roket taktikal dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, menggambarkannya sebagai sebahagian daripada program untuk meningkatkan keupayaan pertahanannya. - Foto REUTERS/KCNA
Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik dan pelayaran serta roket taktikal dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, menggambarkannya sebagai sebahagian daripada program untuk meningkatkan keupayaan pertahanannya. - Foto REUTERS/KCNA

Korea Utara lancar beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat - Seoul

SEOUL: Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah laut di luar pantai timurnya pada Jumaat, kata tentera Korea Selatan.

Ia adalah siri ujian senjata terbaru yang dijalankan oleh Pyongyang dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan, berkata peluru berpandu itu dilepaskan dari bandar pantai timur Wonsan, manakala penyiar awam Jepun NHK melaporkan peluru berpandu jarak dekat kelihatan dilancarkan dan jatuh, memetik seorang pegawai kerajaan.

Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik dan pelayaran serta roket taktikal dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menggambarkan ia sebagai sebahagian daripada program untuk meningkatkan keupayaan pertahanannya.

Terdahulu, pada Jumaat, kakak kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, berkata senjata taktikalnya bertujuan semata-mata sebagai penghalang terhadap pencerobohan tentera Korea Selatan, sambil sekali lagi menafikan Pyongyang mengeksport senjata itu.

Pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan menuduh Korea Utara menghantar senjata ke Russia untuk membantu Moscow menambah stok bagi kegunaan dalam perangnya menentang Ukraine.

Moscow dan Pyongyang menafikan tuduhan itu.

Pelancaran peluru berpandu pada Jumaat itu datang pada masa yang sama dengan lawatan Presiden Russia, Vladimir Putin ke bandar Harbin di timur laut China.

Putin dan Presiden China, Xi Jinping mengkritik Washington dan sekutunya atas apa yang disebut oleh pemimpin sebagai 'intimidasi dalam bidang ketenteraan' terhadap Korea Utara pada

mesyuarat di Beijing pada Khamis. - REUTERS

Berita Harian X