Khamis, 16 Mei 2024 | 10:21am
Seorang wanita Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan seorang kanak-kanak berjalan di hadapan sebuah masjid yang musnah dalam pengeboman Israel di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Seorang wanita Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan seorang kanak-kanak berjalan di hadapan sebuah masjid yang musnah dalam pengeboman Israel di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Hamas akan tentukan kerajaan Palestin pasca perang - Haniyeh

DOHA: Semua kepimpinan Hamas akan terbabit sepenuhnya dalam memutuskan pemerintahan pasca perang di Gaza, bersama kumpulan Palestin lain tanpa membabitkan mana-mana pihak asing.

Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, menegaskan perbincangan mengenai perkara itu hanya akan diputuskan bersama pimpinan parti lain di Palestin.

"Hamas akan terus kekal berada di sini dan hanya pergerakan ini bersama semua pihak berkepentingan lain di Palestin yang akan menentukan pemerintahan pasca perang di Gaza," katanya melalui ucapan yang disiarkan di televisyen.

Tambah Ismail, pihaknya turut mengakui masa depan rundingan gencatan senjata masih samar kerana kedegilan Israel untuk menakluki laluan Rafah dan memperluaskan pencerobohannya di wilayah Palestin yang diduduki, sejak serangan 7 Oktober lalu.

Ismail berucap sempena ulang tahun ke-76 'Nakba' atau 'malapetaka', bagi memperingati sejarah pahit apabila kira-kira 760,000 rakyat Palestin melarikan diri atau dihalau dari rumah mereka semasa pencerobohan Israel pada 1948.

"Sebarang perjanjian damai yang dibuat mesti menjamin pengisytiharan gencatan senjata yang kekal, pengunduran menyeluruh (tentera Israel) dari semua wilayah di Semenanjung Gaza.

"Ia juga perlu membabitkan perjanjian tulus untuk pertukaran tahanan, membenarkan kepulangan penduduk Gaza yang dipindahkan, pembinaan semula dan penamatan kepungan di Gaza," katanya.

Kenyataan itu dibuat Haniyeh selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, membuat kenyataan bahawa sebarang perbincangan mengenai pemerintahan di Gaza selepas perang hanyalah 'omong kosong' selagi Hamas kekal di wilayah berkenaan.

Netanyahu sebelum ini berkata, Hamas tiada kuasa ketenteraan bagi mengawal Gaza dan tiada pihak lain yang sanggup memikul tanggungjawab mentadbir Gaza.

"Syarat pertama untuk menyediakan ruang bagi pihak lain mentadbir adalah dengan memusnahkan Hamas tanpa berdolak dalih lagi," katanya.

Pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh. - Foto REUTERS
Pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh. - Foto REUTERS

Sebaliknya, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan pendirian Netanyahu, mengatakan bahawa pemerintahan di Gaza mesti dipilih dalam kalangan pihak Palestin sendiri selepas Hamas dikalahkan.

"Saya mendesak Netanyahu membuat keputusan dan mengisytiharkan bahawa Israel tidak akan campur tangan atau cuba mengenakan kawalan ke atas penduduk awam di Gaza.

"Hanya puncuk pimpinan dalam kalangan pihak berkepentingan di Palestin wajar dipih sebagai alternatif kepada pentadbiran Hamas. Ini adalah untuk kepentingan Israel sendiri," katanya.

Tambah Gallant, tindakan ketenteraan Israel di Gaza mesti disusuli dengan penyelesaian politik jika mahu mencapai keamanan di wilayah yang bergolak itu.

Katanya, masa depan Gaza selepas Hamas hanya boleh dibentuk oleh entiti Palestin disertai 'bantuan' antarabangsa bagi mewujudkan pemerintahan alternatif.

Peperangan tercetus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel di selatan mengakibatkan kematian lebih 1,170 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP dan laporan rasmi Israel.

Pejuang Hamas turut menculik kira-kira 250 tebusan, 128 daripadanya disyaki Israel masih berada di Gaza, termasuk 36 yang dikatakan tentera mungkin sudah mati.

Tindakan balas tentera Israel pula mengorbankan sekurang-kurangnya 35,233 orang, kebanyakannya orang awam terutama wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Pengepungan Israel pula menyebabkan krisis kekurangan makanan yang teruk, dengan sebahagian besar penduduk Gaza sudah pun kebuluran atau berada di ambang kebuluran. - AFP

Berita Harian X