Rabu, 15 Mei 2024 | 9:36am
Orang ramai berjalan melepasi timbunan sampah dan bangunan yang musnah, dengan kepulan asap akibat pengeboman Israel masih kelihatan di Jabalia, utara Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Orang ramai berjalan melepasi timbunan sampah dan bangunan yang musnah, dengan kepulan asap akibat pengeboman Israel masih kelihatan di Jabalia, utara Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Israel lancar serangan darat, udara dan laut secara serentak di Gaza

KAHERAH: Kereta kebal Israel memasuki beberapa kawasan perumahan di sempadan selatan Gaza di mana lebih sejuta orang berlindung, susulan pelancaran serangan darat, udara dan laut secara serentak.

Pasukan pertahanan Israel (IDF) turut mengepung utara kawasan itu selepas beberapa serangan paling sengit, yang didakwa menyasarkan kubu dan terowong digunakan pejuang Hamas.

Sekutu antarabangsa dan kumpulan bantuan kemanusiaan di Israel berulang kali memberi amaran terhadap pencerobohan darat di Rafah, di mana ramai rakyat Palestin melarikan diri dan terbiar tanpa perlindungan.

Israel bagaimanapun mendakwa empat batalion Hamas masih bersembunyi di Rafah dan menegaskan serangan itu terpaksa dilakukan.

Rumah Putih berkata, Penasihat Keselamatan Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan akan melawat Israel dan Arab Saudi hujung minggu ini, dalam usaha meredakan keadaan.

Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, enggan mengulas mengenai laporan Axios bahawa Israel bersetuju untuk tidak memperluaskan operasi ke Rafah sebelum lawatan Sullivan, namun keadaan di lapangan membuktikan janji itu tidak ditepati.

Seorang pegawai AS yang enggan dikenali berkata Israel berjanji tidak akan membuat langkah besar di Rafah tanpa mendapatkan nasihat Washington.

Pelarian Palestin melihat jenazah mangsa serangan Israel di kawasan kejiranan Rimal barat, di hospital Al-Ahli di kawasan kejiranan al-Zaitoun, Gaza. - Foto AFP
Pelarian Palestin melihat jenazah mangsa serangan Israel di kawasan kejiranan Rimal barat, di hospital Al-Ahli di kawasan kejiranan al-Zaitoun, Gaza. - Foto AFP

Jurucakap Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, tentera Israel berjaya membunuh kira-kira 100 pejuang Hamas di kubu mereka yang terletak di 10 laluan terowong dan menemui banyak senjata di Rafah sejak bermulanya operasi seminggu lalu.

Pertempuran semakin sengit di seluruh Semenanjung Gaza sejak beberapa hari kebelakangan ini, terutama di utara.

Pertempuran semalam adalah yang paling sengit dalam tempoh beberapa bulan menurut penduduk tempatan.

"Kami beroperasi dengan tekad di ketiga-tiga bahagian di Semenanjung Gaza. Pasukan dari udara, darat dan laut secara serentak menyerang sasaran pengganas," kata Hagari merujuk kepada utara, tengah dan selatan Semenanjung itu.

Menurut Pegawai Kesihatan Gaza, angka kematian rakyat Palestin kini melebihi 35,000 mangsa dan angka itu tidak membezakan antara orang awam dan pejuang.

Tambah pihak kementerian, 82 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel dalam tempoh 24 jam yang lalu, jumlah kematian tertinggi dalam sehari sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Israel mendawak membunuh kira-kira 80 pejuang dan memusnahkan pelancar roket serta kemudahan pembuatan senjata di Jabalia semalam, di mana 13 askar Israel turut cedera termasuk empat parah.

Seorang kanak-kanak Palestin menarik bekas air di selatan Kota Gaza, di Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Seorang kanak-kanak Palestin menarik bekas air di selatan Kota Gaza, di Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Sementara itu, sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam, mendakwa berjaya memusnahkan kenderaan pengangkut tentera Israel di daerah timur Al-Salam, mengorbankan beberapa anggota tentera Israel selam mencederakan sejumlah lagi.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani berkata, rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas setakat ini semuanya menemui jalan buntu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsar Bersatu (PBB) Antonio Guterres, mengutuk peningkatan serangan Israel di Rafah dan serangan roket Hamas.

Menteri Luar Israel, Israel Katz berkata, Mesir mesti 'dipujuk' untuk membuka semula lintasan sempadan Rafah untuk membenarkan penghantaran berterusan bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza.

Bagaimanapun, komennya mendorong kemarahan Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry, yang membidas bahawa sekatan Israel ke atas lintasan Rafah dan operasi ketenteraannya di kawasan itu adalah halangan utama untuk membantu memasuki Gaza.

Mahkamah Dunia akan mengadakan perbicaraan minggu ini mengenai permintaan Afrika Selatan untuk langkah kecemasan baharu terhadap Israel berhubung pencerobohan Rafah.

Israel mengatakan tuduhan pembunuhan beramai-ramai terhadapnya yang dilemparkan Afrika Selatan adalah tidak berasas dan akan mengemukakan pandangannya kepada mahkamah Jumaat ini. - REUTERS

Berita Harian X