Selasa, 14 Mei 2024 | 11:05am
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan (kanan) bertemu dengan Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, di Istana Presiden di Ankara, Turkiye. - Foto REUTERS
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan (kanan) bertemu dengan Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, di Istana Presiden di Ankara, Turkiye. - Foto REUTERS

Erdogan sahkan gereja lama Istanbul ditukar kepada masjid

ANKARA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, mengesahkan akan membuka semula sebuah masjid di Istanbul yang juga sebuah gereja Ortodoks Byzantine purba, meskipun berdepan protes puak Yunani.

Erdogan sebelum itu membincangkan isu gereja dengan Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, dalam pertemuan di Ankara, yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara itu.

"Masjid Kariye dalam bentuk baharunya akan kekal terbuka kepada semua orang.

"Kami membuka masjid Kariyeuntuk ibadat dan lawatan selepas kerja-kerja pemulihan yang teliti," kata Erdogan pada sidang akhbar bersama pemimpin Greece itu.

Mitsotakis sebelum itu merayu penukaran gereja di Chora yang dihiasi dengan lukisan dinding 'Penghakiman Terakhir' abad ke-14 yang masih dihargai oleh penganut Kristian dan beliau juga membuat aduan kepada Erdogan mengenai langkah itu.

"Saya berbincang dengan Erdogan mengenai penukaran status agama... saya meluahkan rasa tidak puas hati saya kepadanya.

"Adalah sangat penting untuk mengekalkan nilai budaya unik monumen ini, yang disenaraikan sebagai warisan dunia UNESCO, supaya ia boleh terus diakses oleh semua pelawat," kata Perdana Menteri Greece itu selepas bertemu dengan pemimpin Turkiye.

Gereja itu diubah menjadi Masjid Kariye setengah abad selepas penaklukan Constantinople pada 1453 oleh kerajaan Uthmaniyyah Turkiye.

Ia menjadi Muzium Kariye selepas Perang Dunia II, apabila Turkiye berusaha untuk mewujudkan sebuah republik yang lebih sekular berbanding Empayar Uthmaniyyah.

Pada 2020, Erdogan mengarahkan bangunan itu diubah semula menjadi tempat ibadat umat Islam.

Arahannya dibuat berikutan keputusan kontroversi yang sama mengenai Hagia Sophia yang dilindungi UNESCO di Istanbul.

Pemandangan siling Muzium Chora atau Kariye, yang sebelum ini secara rasminya digelar Gereja Holy Saviour, sebuah gereja Ortodoks Yunani Byzantine zaman pertengahan, di daerah Fatih, Istanbul di Turkiye, yang kini ditukar menjadi masjid. - Foto AFP
Pemandangan siling Muzium Chora atau Kariye, yang sebelum ini secara rasminya digelar Gereja Holy Saviour, sebuah gereja Ortodoks Yunani Byzantine zaman pertengahan, di daerah Fatih, Istanbul di Turkiye, yang kini ditukar menjadi masjid. - Foto AFP

Namun, sewaktu pembukaan semula Masjid Kariye pada 6 Mei, Kementerian Hal Ehwal Luar Greece menyelar tindakan itu sebagai 'provokasi'.

Erdogan semalam berkata, beliau sangat mementingkan untuk 'melindungi mana-mana monumen yang menjadi warisan budaya UNESCO dan menjadikannya mudah diakses untuk faedah negara dan semua manusia'.

Perubahan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Erdogan untuk merangsang penyokongnya yang lebih konservatif dan nasionalis.

Parti AKP yang memerintah Erdogan mempunyai akar kuat agama Islam.

Walaupun terdapat perselisihan faham, kedua-dua pemimpin itu tetap berkata, mereka sedang berusaha untuk menjalin hubungan akrab selepas berdekad-dekad mengharungi ketegangan.

Erdogan juga menyebutnya bahawa pertemuan itu 'sangat produktif, jujur dan membina'.

"Kami berpendapat mengukuhkan semangat kerjasama antara Turkiye dan Greece akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan rantau ini," kata Erdogan.

Beliau berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meningkatkan perdagangan dua hala mereka daripada AS$6 bilion (RM28.4 bilion) kepada AS$10 bilion (RM47.34 bilion).

"Kami menunjukkan, selain perselisihan faham yang sedia ada, kami boleh membuka lembaran baharu.

"Kami ingin memperhebatkan hubungan dua hala kami. Kami meneruskan ke arah yang positif," kata Mitsotakis pula.

Kedua-dua negara itu juga menandatangani perjanjian kerjasama mengenai pengurusan bencana dan kecemasan, berikutan gempa bumi yang dahsyat di Turki pada Februari lalu dan kebakaran hutan di Greece tahun lalu. - AFP

Berita Harian X