Isnin, 13 Mei 2024 | 8:30am
Penduduk Palestin melarikan diri dari Rafah dengan mencari perlindungan di Khan Yunis. - Foto AFP
Penduduk Palestin melarikan diri dari Rafah dengan mencari perlindungan di Khan Yunis. - Foto AFP

Israel tidak ada 'pelan boleh dipercayai' lindungi orang awam di Rafah, kata Blinken

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, berkata Israel tiada 'pelan yang boleh dipercayai' untuk melindungi kira-kira 1.4 juta orang awam Palestin yang berlindung di Rafah.

Beliau juga memberi amaran serangan Israel akan mencetuskan pemberontakan apabila gagal membunuh semua pejuang Hamas di bandar selatan itu.

"Israel berada pada trajektori yang berpotensi menyebabkan pemberontakan ketika ramai pejuang Hamas bersenjata terlepas," kata Blinken di NBC's Meet the Press.

Beliau berkata kumpulan pejuang itu sudah kembali ke kawasan utara Gaza yang didakwa sudah dibersihkan Israel, dan serangan ke atas Rafah 'berisiko menyebabkan kemudaratan yang teruk kepada orang awam' tetapi tidak menamatkan Hamas di situ.

Media NBC dan CBS News menyiarkan temu bual bersama Blinken yang mengulas keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menghentikan penghantaran bom ke Israel kerana bimbang kematian orang awam yang besar di Rafah.

Beliau juga mengulas mengenai laporan Jabatan Negara yang menyatakan Israel menggunakan senjata dibekalkan AS secara pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Laporan yang tidak mempunyai kaitan dengan penghantaran bom, mendapati tiada pelanggaran khusus yang mewajarkan sekatan bantuan ketenteraan AS, dan menyebut konflik perang itu menghalang pengesahan dakwaan pelanggaran individu.

Blinken bagaimanapun turut mempertahankan laporan yang dikritik beberapa penggubal undang-undang Parti Demokrat Biden dan kumpulan hak asasi manusia itu.

Alasannya, penggunaan infrastruktur awam dan terowong oleh Hamas 'membuatkan (pengesahan) sangat sukar untuk ditentukan, terutamanya di tengah-tengah peperangan berlaku'.

Mengulas keputusan menghentikan pembekalan 3,500 bom [membabitkan 2,000 paun (907.1 kilogram) dan 500 paun (226.7 kg)], Blinken berkata, Israel tidak mempunyai "pelan yang boleh dipercayai" untuk melindungi kira-kira 1.4 juta orang awam yang berlindung di Rafah.

Beliau memberitahu CBS, bahawa penghantaran itu adalah satu-satunya pakej senjata AS yang disekat.

Katanya, sekiranya Israel 'melancarkan operasi ketenteraan utama itu ke Rafah, maka terdapat sistem tertentu yang AS tidak akan menyokong dan membekalkan untuk operasi itu'.

"Israel perlu mempunyai rancangan yang jelas dan boleh dipercayai untuk melindungi orang awam, yang belum kita lihat," katanya.

Sebahagian besar daripada 1.4 juta rakyat Palestin di Rafah sudah dipindahkan dari tempat lain akibat pertempuran dan pengeboman Israel turut memusnahkan kawasan pinggir laut.

Kata Bliken, Israel juga belum membangunkan rancangan pasca perang untuk keselamatan, tadbir urus dan pembinaan semula Gaza, namun AS sedang mengusahakan rancangan sedemikian bersama kerajaan Arab dan pihak lain.

Berita Harian X