Ahad, 12 Mei 2024 | 12:57pm
Khemah pendaki di kem pangkalan Everest di wilayah Gunung Everest, daerah Solukhumbu, Nepal. - Foto AFP
Khemah pendaki di kem pangkalan Everest di wilayah Gunung Everest, daerah Solukhumbu, Nepal. - Foto AFP

Mahkamah Nepal perintah had permit mendaki Everest

KATHMANDU: Mahkamah Agung Nepal memerintahkan kerajaan untuk mengehadkan bilangan permit mendaki gunung yang dikeluarkan untuk Everest dan puncak lain.

Perintah itu dikeluarkan menjelang ekspedisi musim bunga.

Puncak Himalaya adalah lapan daripada 10 puncak tertinggi di dunia dan menerima ratusan pendaki setiap musim bunga, ketika suhu panas dan angin biasanya tenang.

Keputusan berkenaan dikeluarkan pada akhir April lalu, namun penghakimannya hanya diterbitkan minggu ini.

Peguam Deepak Bikram Mishra, pempetisyen yang menggesa permit dihadkan.

Katanya, mahkamah sudah menjawab kebimbangan orang ramai mengenai pergunungan Nepal dan persekitarannya.

"Ia mengarahkan had kepada bilangan pendaki, dan juga memberi langkah untuk pengurusan sisa dan pemeliharaan alam sekitar gunung itu," katanya.

Ringkasan penghakiman mengatakan bahawa kapasiti gunung 'mesti dihormati' dan bilangan maksimum permit yang sesuai harus ditentukan.

Ketika ini, Nepal memberikan permit kepada semua pihak yang memohon dan sanggup membayar AS$11,000 untuk mendaki Everest, puncak tertinggi di dunia pada ketinggian 8,849 meter (29,032 kaki) dari paras laut.

Tahun lalu, negara itu mengeluarkan sebanyak 478 permit untuk Everest, iaitu rekod tertinggi.

Kesesakan lalu lintas manusia yang besar di Everest adalah pada tahun 2019.

Ia memaksa pasukan penyelamat menunggu berjam-jam di puncak dalam suhu membeku, berisiko kehabisan oksigen yang boleh membawa kepada penyakit dan keletihan.

Sekurang-kurangnya empat daripada 11 kematian pada puncak tahun itu dipersalahkan atas sebab kesesakan. - AFP

Berita Harian X