Ahad, 12 Mei 2024 | 7:32am
Saudi Arabian Airlines berhasrat membeli 100 pesawat untuk menyediakan perkhidmatan ‘teksi terbang’ antara Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan hotel di Makkah. - Foto ihsan @Lilium/X
Saudi Arabian Airlines berhasrat membeli 100 pesawat untuk menyediakan perkhidmatan ‘teksi terbang’ antara Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan hotel di Makkah. - Foto ihsan @Lilium/X

Arab Saudi uji 'teksi terbang', dron musim haji tahun ini

MAKKAH: Arab Saudi akan menguji perkhidmatan 'teksi terbang' dan dron sebagai mod pengangkutan baharu pada musim haji tahun ini.

Menteri Pengangkutan dan Logistik Arab Saudi, Saleh Al-Jasser, berkata negara itu akan menyediakan teknologi, alat pengangkutan yang lebih fleksibel dan pantas pada musim haji untuk memudahkan perjalanan jemaah.

"Ini mewakili mod pengangkutan yang sangat maju, termasuk perkhidmatan teksi terbang. Terdapat perlumbaan antara banyak syarikat, khusus dalam sektor pengangkutan untuk menyediakan cara pengangkutan terbaik pada tahun-tahun akan datang.

Foto ihsan @Lilium/X
Foto ihsan @Lilium/X

"Jadi, kita perlu berada di barisan hadapan untuk mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini," kata Al-Jasser kepada Al-Arabiya.

Awal tahun ini, Saudi Arabian Airlines (Saudia) merancang mengendalikan teksi terbang untuk membawa jemaah haji dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah ke hotel di Makkah.

Saudia bercadang membeli kira-kira 100 pesawat untuk mengendalikan perkhidmatan itu.

Syarikat penerbangan nasional Saudi berkenaan membuat persiapan untuk menggunakan teksi udara sebagai mod pengangkutan baharu pada musim haji tahun ini, menurut Pengarah Komunikasi Korporat dan jurucakap Kumpulan Saudia, Abdullah Al-Shahrani.

Al-Shahrani dilaporkan berkata, Kumpulan Saudia bersetuju membeli 100 jet Lilium, pesawat lepas landas dan pendaratan menegak elektrik Jerman (eVTOL), untuk ulang-alik antara lapangan terbang Jeddah dan hotel Makkah berhampiran Masjidil Haram dan tempat suci lain.

"Pesawat elektrik Lilium antara pesawat pertama yang beroperasi sepenuhnya menggunakan kuasa elektrik.

"Selepas menyelesaikan urusan diperlukan, pesawat ini akan terbang bersama tetamu Allah pada musim haji dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah ke lapangan terbang di hotel berhampiran Masjidil Haram di Makkah.

Al-Shahrani menyatakan teksi terbang boleh mengangkut empat hingga enam penumpang.

Foto ihsan @Lilium/X
Foto ihsan @Lilium/X

"Pesawat Lilium dicirikan oleh kadar pelepasan karbon yang rendah dan adalah pesawat mesra alam, menjadikannya antara kemungkinan untuk mengekalkan perjalanan udara dan memendekkan masa penerbangan, kerana meliputi jarak maksimum 250 kilometer (km).

"Pesawat itu juga menampilkan kabin unik yang menawarkan beberapa pilihan untuk susunan tempat duduk, dan dicirikan oleh ruang luas yang memenuhi keperluan tetamu elit yang mencari pengalaman perjalanan terbaik," katanya.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Am Jalan di Arab Saudi mengumumkan projek menaik taraf jalan sepanjang 4,000 kilometer (km) untuk jemaah haji sudah disiapkan secara menyeluruh.

"Ia membabitkan kerja menaik taraf jalan sepanjang 4,000 kilometer bagi memastikan pengalaman yang lancar dan selesa untuk jemaah haji.

"Penambahbaikan, termasuk membaik pulih semula jalan sepanjang 158km, membaik pulih retakan dan jalan berlubang di 403 tapak, menaik taraf bahu jalan sepanjang 2,361km, mengalihkan beting pasir yang meliputi 1,240 meter padu dan membersihkan lembah sungai di 421 lokasi," katanya. - AGENSI

Berita Harian X