Sabtu, 11 Mei 2024 | 10:07am
Seorang lelaki Afghanistan yang memegang payung berjalan menemani seorang kanak-kanak semasa hujan di Fayzabad di wilayah Badakhshan, Afghanistan. - Foto AFP
Seorang lelaki Afghanistan yang memegang payung berjalan menemani seorang kanak-kanak semasa hujan di Fayzabad di wilayah Badakhshan, Afghanistan. - Foto AFP

Banjir kilat ragut lebih 200 nyawa dalam sehari di utara Afghanistan

KABUL: Korban banjir kilat yang melanda utara Afghanistan sejak semalam meningkat kepada lebih 200 orang dalam 24 jam, terutama wanita dan kanak-kanak.

Statistik itu disahkan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migran (IOM), di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Seorang pegawai pengurusan bencana di wilayah utara Baghlan berkata hujan lebat bermusim mencetuskan banjir dan penduduk tidak bersedia menghadapi limpahan air secara tiba-tiba.

Ketua jabatan pengurusan bencana alam wilayah, Hedayatullah Hamdard, turut mengesahkan kepada AFP bahawa kematian dalam banjir semalam di wilayah Baghlan meningkat kepada lebih 200 orang.

"Jumlah ini mungkin meningkat kerana hujan renyai berterusan sehingga malam di beberapa daerah di wilayah dilanda banjir.

"Anggota kecemasan masih mencari mana-mana mangsa yang mungkin terperangkap di bawah lumpur dan runtuhan, dengan bantuan pasukan keselamatan daripada tentera dan polis," katanya.

Tambah beliau, puluhan khemah, selimut dan makanan turut disediakan untuk mangsa banjir dan mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Rakaman video yang dilihat di media sosial menunjukkan aliran besar air berlumpur membanjiri jalan raya dan mayat diselubungi kain putih dan hitam.

Dalam satu klip video, kanak-kanak kedengaran menangis dan sekumpulan lelaki sedang melihat air banjir, di mana serpihan kayu dan sisa runtuhan bangunan boleh dilihat dihanyutkan air.

Sejak pertengahan April, banjir kilat dan banjir menyebabkan kira-kira 100 orang terkorban di 10 wilayah di Afghanistan, dengan tiada wilayah yang terselamat sepenuhnya, menurut pihak berkuasa.

Seorang budak lelaki Afghanistan menyodok lumpur dari halaman rumah berikutan banjir kilat selepas hujan lebat di sebuah kampung di daerah Baghlan-e-Markazi di wilayah Baghlan, Afghanistan. - Foto AFP
Seorang budak lelaki Afghanistan menyodok lumpur dari halaman rumah berikutan banjir kilat selepas hujan lebat di sebuah kampung di daerah Baghlan-e-Markazi di wilayah Baghlan, Afghanistan. - Foto AFP

Tanah ladang dibanjiri di negara di mana 80 peratus daripada lebih 40 juta penduduknya bergantung kepada pertanian untuk kelangsungan hidup.

Hujan Jumaat lalu juga menyebabkan kerosakan teruk di timur laut wilayah Badakhshan dan wilayah Ghor tengah, kata pegawai.

Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata pihak berkuasa akan memberikan sokongan kepada mereka yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

"Kerajaan menzahirkan rasa simpati kepada waris keluarga yang terkorban dan cedera akibat bencana alam ini.

"Kerajaan sudah mengarahkan Kementerian Pengurusan Bencana Alam, Kementerian Pertahanan dan Dalam Negeri serta pihak berkuasa wilayah untuk menggunakan semua sumber yang ada bagi usaha menyelamat", katanya dalam kenyataan di platform X.

Pengarah wilayah pengurusan bencana alam di Badakhshan, Mohammad Akram Akbari, berkata wilayah pergunungan itu mengalami kerugian kewangan yang besar di beberapa kawasan akibat banjir.

Tambah beliau, mangsa paling banyak dikhuatiri dicatatkan di daerah Tishkan, di mana banjir menyekat jalan dan memutuskan akses ke kawasan dihuni kira-kira 20,000 orang.

Afghanistan, yang mempunyai musim sejuk agak kering, menjadikannya lebih sukar untuk tanah menyerap hujan dan sangat terdedah kepada perubahan iklim.

Negara itu, yang dilanda perang selama empat dekad, adalah antara negara termiskin di dunia dan menurut saintis, antara yang paling teruk bersedia untuk menghadapi kesan pemanasan global. - AFP

Berita Harian X