Jumaat, 10 Mei 2024 | 6:07pm
Tentera Israel melancarkan operasi darat dan udara di bahagian timur Rafah, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Palestin di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Tentera Israel melancarkan operasi darat dan udara di bahagian timur Rafah, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Palestin di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Israel lancar serangan baru di Gaza selepas rundingan gencatan senjata berakhir

GAZA: Israel melancarkan serangan terbaru di Semenanjung Gaza hari ini selepas kumpulan perunding yang berhasrat meneruskan perjanjian gencatan senjata yang sekian lama terhenti pulang dari rundingan di Kaherah tanpa hasil yang diharapkan.

Wartawan AFP di Semenanjung Gaza awal pagi tadi menyaksikan serangan artileri ke atas Rafah di sempadan selatan wilayah itu dengan Mesir, manakala saksi melaporkan serangan udara dan pertempuran di bahagian utara bandar Gaza.

Menurut Al-Qahera News yang berkaitan dengan perisikan Mesir, pasukan perunding Israel dan Hamas meninggalkan Kaherah semalam selepas tuan rumahnya, Mesir menggambarkan ia 'pusingan rundingan tidak langsung selama dua hari' mengenai syarat gencatan senjata Gaza.

Hamas yang mengendalikan Semenanjung Gaza dan mencetuskan serangan ke atas Israel yang tidak pernah berlaku sebelum ini, berkata delegasinya berlepas ke Qatar, yang juga pusat kepimpinan politik kumpulan Palestin itu.

"Delegasi perundingan meninggalkan Kaherah dan menuju ke Doha. Secara dasarnya, penceroboh (Israel) menolak cadangan yang dikemukakan pengantara dan menimbulkan bantahan terhadapnya dalam beberapa isu utama," kata Hamas dalam mesej kepada puak Palestin lain.

Hamas turut berkata, ia tidak akan berganjak daripada cadangan genjatan senjata terbabit.

"Oleh itu, keputusan kini berada di tangan penceroboh," katanya.

Hamas pada Isnin berkata, sudah menerima cadangan gencatan senjata yang dikemukakan pengantara. Menurut kumpulan itu, syarat perjanjian termasuk penarikan semula tentera Israel dari Gaza, membenarkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat perang untuk kembali ke negara itu dan pertukaran tebusan bagi warga Palestin yang ditahan di Israel, dengan tujuan 'gencatan senjata kekal'.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada masa itu menyebut bahawa cadangan itu 'jauh daripada tuntutan penting Israel', namun memberitahu, kerajaannya akan menghantar perunding ke Kaherah.

Israel sejak sekian lama menentang idea gencatan senjata kekal, malah menegaskan ia mesti menyelesaikan tugas untuk memusnahkan Hamas. - AFP

Berita Harian X