Jumaat, 10 Mei 2024 | 9:07am
Kepulan asap menjulang tinggi susulan serangan terbaharu Israel di Rafah di selatan Semenanjung Gaza, selepas rundingan gencatan senjata gagal capai persefahaman. - Foto REUTERS
Kepulan asap menjulang tinggi susulan serangan terbaharu Israel di Rafah di selatan Semenanjung Gaza, selepas rundingan gencatan senjata gagal capai persefahaman. - Foto REUTERS

Selesai serangan di selatan, Israel mula membedil timur Rafah

RAFAH: Tentera Israel yang menyerang selatan Rafah ketika rundingan gencatan senjata berjalan, kini mula membedil timur Rafah sejurus selepas rundingan tamat tanpa sebarang persetujuan dengan Hamas.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengambil pendekatan tidak menghiraukan ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, malah meningkatkan serangan di Rafah.

Biden terdahulu mengancam untuk menahan bekalan senjata kepada Israel jika regim Zionis itu terus menyerang bandar-bandar di Gaza.

Menurut seorang pegawai kanan Israel, rundingan terbaharu di Kaherah untuk hentikan serangan di Gaza sudah berakhir tanpa capai sebarang kesepakatan.

Katanya, ia mendorong Israel meneruskan serangan di Rafah dan bahagian lain di Semenanjung Gaza seperti mana dirancang pasukan pertahanan Israel (IDF) sebelum ini.

"Israel sudah mengemukakan kepada pihak pengantara mengenai cadangan Hamas untuk perjanjian pembebasan tahanan," katanya.

Sebelum ini, Netanyahu melalui kenyataan melalui rakaman video, menyatakan akan bertempur habis-habisan sehingga Hamas hapus sama sekali.

"Jika perlu, kita akan tetap bertempur walaupun dengan hanya bersenjatakan kuku jari penduduk Israel sekalipun, namun kita mempunyai lebih daripada itu," katanya.

Sementara itu, di Gaza, kumpulan pejuang Hamas dan Jihad Islam menyatakan ahli mereka berjaya melakukan serangan terhadap kereta kebal Israel yang berada di pinggir timur bandar itu.

Menurut penduduk dan pegawai perubatan di Rafah, iaitu kawasan bandar terbesar di Gaza yang belum dikuasai tentera darat Israel, serangan Zionis berhampiran masjid membunuh sekurang-kurangnya tiga orang.

Pelarian Palestin yang dipindahkan memuatkan barangan mereka di belakang kereta kuda ketika mereka melarikan diri dari al-Mawasi ke kawasan yang lebih selamat di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Pelarian Palestin yang dipindahkan memuatkan barangan mereka di belakang kereta kuda ketika mereka melarikan diri dari al-Mawasi ke kawasan yang lebih selamat di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Rakaman video menunjukkan bangunan runtuh dan terdapat dua mayat ditutup dengan selimut.

Sementara itu, serangan udara Israel ke atas dua kediaman di Sabra, Rafah, pula membunuh sekurang-kurangnya 12 orang termasuk wanita dan kanak-kanak.

Menurut beberapa sumber, antara yang maut ialah komander kanan Hamas, Briged Al-Mujahedeen, dan keluarganya, selain keluarga seorang lagi ketua kumpulan terbabit.

Hamas didakwa Israel sedang bersembunyi di Rafah, yang menempatkan ratusan ribu penduduk Gaza bagi berlindung daripada serangan.

Di AS, Rumah Putih sekali lagi mengharapkan supaya Israel tidak melancarkan operasi ketenteraan menyeluruh di Rafah.

Menurut jurucakapnya, John Kirby, pihaknya tidak percaya tindakan itu adalah langkah yang betul untuk mengalahkan Hamas.

"Menghancurkan Rafah, pada pandangan (Biden) tidak akan memberikan kemajuan terhadap misi mereka," katanya.

Kirby berkata, berikutan Hamas menerima tekanan yang kuat daripada Israel, maka ada pilihan lain yang lebih baik untuk menumpaskan saki baki kepimpinan kumpulan itu daripada melakukan serangan yang membahayakan orang awam.

Penduduk Palestin bergegas menaiki kenderaan melarikan diri dari Rafah selepas tentera Israel melancarkan operasi darat dan udara di bahagian timur dan selatan Bandar Gaza. - Foto REUTERS
Penduduk Palestin bergegas menaiki kenderaan melarikan diri dari Rafah selepas tentera Israel melancarkan operasi darat dan udara di bahagian timur dan selatan Bandar Gaza. - Foto REUTERS

Sementara itu, jurucakap Ketua Angkatan Tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata tentera IDF sudah mempunyai keperluan senjata yang mencukupi untuk operasi di Rafah dan kawasan lain seperti dirancang.

Katanya, melalui operasi, angkatan bersenjata Israel membunuh, 50 lelaki bersenjata Palestin di timur Rafah sebelum menemui beberapa terowong, namun Hamas tidak memberikan komen terhadap perkembangan itu.

Dalam perkembangan sama, Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, berkata penduduk Israel bertindak membakar ibu pejabat agensi itu Timur Baitulmaqdis.

Lazzarini melalui aplikasi X bagaimanapun menyatakan tiada kemalangan jiwa berlaku tetapi menyebabkan kerosakan teruk kemudahan itu, yang perlu ditutup.

"Sekali lagi keselamatan kakitangan UNRWA berada pada risiko yang tinggi. Kami terpaksa menutup fasiliti itu sehingga ia dapat dipastikan selamat," katanya.

Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths pula berkata, pihaknya tidak dapat menghantar bantuan berikutan tiada sesiapa dibenarkan masuk atau keluar dari Gaza selama tiga hari berturut-turut ini.

"Bekalan dan pasukan kami tersekat. Orang awam di Gaza sedang kelaparan dan dibunuh. Lebih parah, kami pula dihalang daripada membantu mereka," katanya di aplikasi X.

Penutupan laluan itu susulan serangan Israel di kawasan Zeitoun di bandar Gaza

yang menyebabkan ratusan keluarga terpaksa melarikan diri. - REUTERS

Berita Harian X