Khamis, 9 Mei 2024 | 11:09pm
Gary Beckles dari Laurel, Maryland, berdiri di dek peninjau di atas kapal pemusnah peluru berpandu berpandu kelas Arleigh Burke USS Halsey (DDG 97) semasa operasi rutin melalui Selat Taiwan. - Foto AFP
Gary Beckles dari Laurel, Maryland, berdiri di dek peninjau di atas kapal pemusnah peluru berpandu berpandu kelas Arleigh Burke USS Halsey (DDG 97) semasa operasi rutin melalui Selat Taiwan. - Foto AFP

12 kapal perang China dikesan berada di sekitar Taiwan

TAIPEI: Pegawai pertahanan dan pengawal pantai Taiwan mendakwa puluhan kapal perang China dikesan berada di sekitar negara pulau berkenaan.

China mendakwa Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan berkata, ia tidak akan menolak menggunakan kekerasan untuk membawa pulau itu di bawah pentadbiran China.

Kehadiran tentera China di sekitar negara itu turut membabitkan 23 buah pesawat pejuang dan lima kapal tentera laut dalam tempoh 24 jam iaitu berlaku sehari selepas kapal perang AS belayar melalui Selat Taiwan.

Penguatkuasa Pantai Taipei berkata, pihaknya telah mengesan 12 kapal China di sekitar pulau terpencil Kinmen.

Kinmen yang ditadbir oleh Taiwan tetapi terletak lima kilometer dari bandar Xiamen di China, telah menyaksikan ketegangan yang memuncak dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pengawal Pantai Taiwan berkata, sekumpulan tujuh kapal milik jabatan maritim dan perikanan China telah memasuki kawasan perairan yang terhad di negara berkenaan sekitar jam 3 petang (waktu tempatan) kira-kira 4 batu nautika daripada barat daya Kinmen.

"Kami mengesyaki kapal laut itu, bersama tiga nelayan Cina terbabit dalam latihan maritim," katanya.

Pada masa yang sama, terdapat satu lagi kapal laut dan empat kapal pengawal pantai China telah memasuki perairan larangan dan sebuah lagi kapal belayar di luar perairan Taiwan.

Kapal-kapal itu berlepas kira-kira 90 minit kemudian, kata pengawal pantai sambil menyatakan bahawa perkara itu adalah pembentukan keempat kapal pengawal pantai China yang belayar di perairan Kinmen pada Mei.

Ia juga adalah kali pertama kapal pengawal pantai China dan kapal rasmi China yang lain belayar bersama-sama pada masa yang sama.

"Ini telah menjejaskan keamanan rentas selat, kestabilan dan keselamatan pelayaran secara serius, menyakiti perasaan orang ramai di kedua-dua belah selat dan tidak membantu untuk proses keamanan di seluruh Selat Taiwan," kata pengawal pantai itu.

China telah meningkatkan pemantauan di sekitar Kinmen selepas beberapa siri insiden maut awal tahun ini.

Sebuah bot laju China yang membawa empat orang terbalik berhampiran Kinmen pada 14 Februari ketika pengawal pantai Taiwan mengejarnya yang telah menyebabkan dua orang terbunuh. - AFP

Berita Harian X