Khamis, 9 Mei 2024 | 3:06pm
- Foto FB The Republic of Singapore Air Force
- Foto FB The Republic of Singapore Air Force

RSAF gantung latihan F-16 selepas jet terhempas

SINGAPURA: Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) menggantung sementara latihan armada F-16 sebagai langkah keselamatan selepas insiden terhempas semalam.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan berkata latihan akan ditangguhkan sehingga siasatan mengesahkan bahawa ia selamat untuk disambung semula.

"Siasatan terperinci sedang dijalankan dan maklumat terkini akan disediakan," menurut kementerian itu.

Sebuah jet pejuang F-16 RSAF terhempas di Pangkalan Udara Tengah selepas mengalami masalah ketika berlepas pada 12.35 tengah hari, semalam.

Bagaimanapun, juruterbang yang terlibat tidak mengalami kecederaan serius selepas menjalani pemeriksaan perubatan penuh.

"Juruterbang itu berada dalam keadaan sedar dan stabil. Anggota tentera itu adalah juruterbang berpengalaman dengan lebih 2,000 jam penerbangan dalam pesawat F-16," kata MINDEF.

Menurut kementerian itu, juruterbang berkenaan menghadapi masalah kawalan penerbangan selepas berlepas dari landasan di Pangkalan Udara Tengah untuk penerbangan latihan rutin.

Dalam kenyataan sebelumnya, MINDEF menyatakan bahawa juruterbang itu bertindak mengikut prosedur kecemasan dan berjaya keluar dari pesawat dengan selamat selepas insiden tersebut.

- BERNAMA

Berita Harian X