Selasa, 7 Mei 2024 | 4:50pm
Gambar oleh Pengawal Pantai Taiwan menunjukkan sebuah kapal Pengawal Pantai China sedang belayar ke perairan Kinmen. - Foto AGENSI
Gambar oleh Pengawal Pantai Taiwan menunjukkan sebuah kapal Pengawal Pantai China sedang belayar ke perairan Kinmen. - Foto AGENSI

Taiwan dakwa empat kapal China memasuki perairan larangan

TAIPEI: Pihak berkuasa menggesa Beijing menghentikan tindakan yang membahayakan keselamatan susulan empat kapal pengawal pantai China belayar melalui perairan terlarang Taiwan.

China yang mendakwa Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, berkata ia tidak akan menolak menggunakan kekerasan untuk membawa pulau itu di bawah kawalan pemerintahan Beijing.

Pengawal pantai Taiwan dalam satu kenyataan berkata kapal-kapal China didakwa memasuki perairan selatan pulau terpencil Taiwan Kinmen, lima kilometer dari bandar Xiamen China, sekitar 3:30 petang pada Isnin.

"Kapal-kapal itu berlayar keluar dari perairan terlarang dan terhad kami kira-kira sejam kemudian," kata agensi itu.

Taiwan menggesa Beijing untuk segera menghentikan tingkah laku yang membahayakan keselamatan pelayaran.

China dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah meningkatkan beberapa pesawat dan kapal tentera laut di sekitar pulau itu.

Insiden pada Isnin berlaku dua minggu sebelum perasmian 20 Mei bagi bakal Presiden Taiwan, Lai Ching-te.

Seperti Presiden Tsai Ing-wen yang akan melepaskan jawatan, Lai menolak tuntutan China ke atas Taiwan.

Beijing menganggap Lai, yang kini Naib Presiden, sebagai pemisah berbahaya yang akan membawa Taiwan ke arah perang dan kemerosotan.

Beijing juga berikrar untuk meningkatkan rondaan di sekitar Kinmen, yang ditadbir oleh Taipei, selepas beberapa siri kemalangan maut membabitkan nelayan awal tahun ini.

Sebuah bot laju China yang membawa empat orang terbalik berhampiran Kinmen pada 14 Februari ketika pengawal pantai Taiwan mengejarnya, menyebabkan dua orang maut.

Sebuah lagi bot China terbalik di kawasan itu pada Mac, turut mengakibatkan kematian dua anak kapal.

Pengawal pantai Taiwan telah mempertahankan tindakannya, mengatakan bot itu berada dalam perairan larangan dan bersimpang siur sebelum ia terbalik, tetapi Beijing menuduh Taipei menyembunyikan kebenaran mengenai kejadian itu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Sun Li-fang memberitahu pemberita hari ini bahawa Taiwan akan meningkatkan sokongan kepada pengawal pantai dalam bentuk pengawasan dan peninjauan kapal-kapal China yang memasuki perairan terhad pulau itu.

Ketika ditanya sama ada kehadiran kapal China akan mengganggu penghantaran bekalan ke pulau-pulau luar pesisir Taiwan, beliau berkata secara keseluruhannya pihaknya bersedia dan mempunyai keyakinan penuh dalam memastikan keselamatan serantau. - AFP

Berita Harian X