Selasa, 7 Mei 2024 | 12:51pm
Rafah terus dibom menjelang rundingan gencatan senjata. - Foto AFP
Rafah terus dibom menjelang rundingan gencatan senjata. - Foto AFP

Israel bom Rafah menjelang rundingan gencatan senjata

RAFAH: Israel melancarkan serangan ke atas Rafah semalaman dalam usahanya memberi tekanan ke atas Hamas menjelang rundingan di Mesir hari ini.

Selepas berikrar selama berminggu-minggu untuk masuk ke bandar sempadan di bahagian selatan itu, Israel semalam menggesa rakyat Palestin di timur Rafah menuju ke kawasan kemanusiaan yang diperluaskan sebelum pencerobohan darat dimulakan.

Wartawan AFP di bandar itu melaporkan pengeboman hebat sepanjang malam, manakala hospital Kuwait di sana hari ini memaklumkan, setakat ini 11 orang terbunuh dan berpuluh yang lain cedera dalam serangan berkenaan.

Selepas rundingan awal sebelum ini tidak membuahkan hasil, Hamas petang semalam berkata, pihaknya sudah memaklumkan pengantara Mesir dan Qatar mengenai 'kelulusan bagi cadangan gencatan senjata' dalam perang yang berlanjutan selama tujuh bulan itu.

Ia mendorong orang ramai bersorak di jalan sekitar Rafah.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata cadangan itu 'jauh dari tuntutan utama Israel' , namun kerajaan akan menghantar perunding untuk berbincang mengenai potensi bagi merealisasikan perjanjian itu.

Dalam pada itu, katanya, 'Israel meneruskan operasi di Rafah untuk memberikan tekanan ketenteraan ke atas Hamas bagi memperoleh pembebasan tebusan dan mencapai objektif perang yang lain.

Sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat berkata, pihaknya meneliti tindak balas Hamas.

Anggota Hamas, Khalil al-Hayya memberitahu saluran berita Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar bahawa cadangan yang dipersetujui oleh Hamas itu membabitkan gencatan senjata dalam tiga fasa.

Beliau berkata, ia termasuk pengunduran sepenuhnya Israel dari Gaza, kepulangan rakyat Palestin yang dipindahkan akibat perang dan pertukaran tebusan dengan matlamat pelaksanaan gencatan senjata kekal.

Qatar berkata, pihaknya menghantar delegasi ke Kaherah pagi ini untuk menyambung semula rundingan dengan harapan dapat mencapai persetujuan untuk gencatan senjata serta-merta dan kekal di Gaza.

Seorang pegawai kanan Hamas yang enggan identitinya didedahkan, memberitahu AFP, Israel mesti memutuskan sama ada menerima atau menolak gencatan senjata.

Berita Harian X