Selasa, 7 Mei 2024 | 8:44am
Poster Perdana Menteri India, Narendra Modi dipasang di Ayodhya, India menjelang pilihan raya negara itu. - Foto REUTERS
Poster Perdana Menteri India, Narendra Modi dipasang di Ayodhya, India menjelang pilihan raya negara itu. - Foto REUTERS

SPR India beri amaran parti politik tak terbabit penipuan AI

NEW DELHI: Pihak berkuasa pilihan raya India semalam memberi amaran kepada parti politik supaya tidak menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta video palsu dan menyebarkan maklumat tidak benar ketika pilihan raya umum negara itu.

Jutaan pengundi akan menuju ke pusat mengundi hari ini, dalam fasa ketiga daripada tujuh fasa pengundian di negara dengan populasi penduduk tertinggi di dunia itu.

Sejumlah video palsu dan maklumat tidak sahih tersebar di media sosial sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya India (ECI) memberi amaran penyalahgunaan cabang teknologi berasaskan AI untuk mencipta kandungan palsu bertujuan memesongkan maklumat atau menyebarkan berita tidak benar.

ECI dalam satu kenyataan berkata, parti politik secara khusus sudah diarahkan untuk mengelak daripada menerbit dan mengedarkan audio atau video palsu, menyebarkan sebarang maklumat salah atau berita yang secara jelas palsu, tidak benar atau mengelirukan.

ECI bagaimanapun tidak menamakan mana-mana organisasi, namun berkata, parti politik akan diarahkan untuk mengalih keluar sebarang kandungan palsu dalam masa tiga jam selepas dimaklumkan mengenainya.

Amaran itu dibuat beberapa hari selepas penahanan ketua media sosial parti pembangkang utama negara itu atas tuduhan membuat video palsu yang dikongsi secara meluas.

Ahli parti Kongres, Arun Reddy ditahan Jumaat lalu berhubung rakaman palsu yang disunting menunjukkan Menteri Dalam Negeri, Amit Shah berikrar dalam ucapan kempen untuk menamatkan dasar tindakan afirmatif untuk jutaan penduduk India yang miskin dan kasta rendah.

Ucapan asal kempen Shah menunjukkan beliau berjanji untuk menamatkan langkah tindakan afirmatif untuk umat Islam yang dilaksanakan di negeri di bahagian selatan India, Telangana.

Perdana Menteri, Narendra Modi daripada parti Bharatiya Janata dan parti pembangkang, Kongres saling membuat tuduhan membabitkan penyebaran maklumat salah dan palsu secara terang-terangan sejak pengundian bermula bulan lalu.

Berita Harian X