Ahad, 5 Mei 2024 | 10:39pm
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto REUTERS

Hamas akan terus berkuasa jika perang di Gaza dihentikan - Netanyahu

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak tuntutan Hamas untuk menamatkan perang di Gaza dengan mendakwa tindakan itu akan mengekalkan kuasa kumpulan pejuang itu, sekali gus menjadi ancaman berterusan kepada rejim Zionis.

Namun, tambah beliau, Israel sedia menghentikan sementara pertempuran di Gaza untuk membolehkan pembebasan tebusan yang masih ditahan oleh Hamas, dipercayai membabitkan lebih 130 orang.

"Sementara Israel menunjukkan kesanggupan, Hamas tetap berakar pada kedudukannya yang melampau.

"Pertama, antaranya adalah permintaan untuk mengeluarkan semua tentera kami dari Semenanjung Gaza, menamatkan perang dan meninggalkan Hamas berkuasa

"Israel tidak boleh menerimanya. Hamas akan dapat mencapai janjinya untuk berulang kali melakukan pembunuhan beramai-ramai, rogol dan penculikan," katanya.

Di Kaherah, pemimpin Hamas ketika ini mengadakan rundingan gencata senjata yang masuk hari kedua dengan pengantara Mesir dan Qatar, yang setakat ini tidak menunjukkan sebarang kemajuan.

Kebuntuan itu berlaku kerana kumpulan pejuang hamas mengekalkan tuntutannya bahawa sebarang perjanian mesti menamatkan perang di Gaza, dedah seorang sumber yang juga pegawai Palestin.

Perang Israel-Palestin yang bermula 7 Oktober tahun lalu membunuh lebih 34,600 rakyat negara itu, demikian data direkodkan Kementerian Kesihatan di Gaza.

Selain itu, serangan juga mengakibatkan sebahagian besar kawasan pesisir wilayah itu musnah dan menyebabkan krisis kemanusiaan.

Ketua politik Hamas, Ismail Haniyeh, hari ini menuduh Netanyahu mensabotaj usaha pengantara yang terbabit dalam rundingan berterusan untuk gencatan senjata dan pertukaran tebusan di Gaza.

Haniyeh, yang berpangkalan di Qatar berkata, Netanyahu mahu 'mencipta alasan berterusan untuk meneruskan pencerobohan, meluaskan lingkaran konflik, dan usaha mensabotaj yang dibuat melalui pihak terrtentu atau pelbagai pengantara. - AGENSI

Berita Harian X