Jumaat, 3 Mei 2024 | 11:07am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Israel bangunkan 'Cyber Dome' lindungi serangan siber

TEL AVIV: Sistem pertahanan 'Iron Dome' sudah lama melindungi Israel daripada serangan roket. Kini rejim itu sedang membangunkan 'Cyber Dome' bagi mengelak serangan dalam talian, terutama daripada musuh ketatnya, Iran.

'Iron Dome', sistem pertahanan Israel yang melancarkan roket pemintas dari darat ke udara pada jarak yang dekat sehingga 70 kilometer. Ia seperti 'perisai' untuk berlindung dan memintas roket, jet pejuang, helikopter dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).

"Ia adalah serangan senyap, yang tidak dapat dilihat," kata Aviram Atzaba, ketua kerjasama antarabangsa Direktorat Siber Kebangsaan Israel.

Walaupun Israel memerangi Hamas di Gaza sejak serangan 7 Oktober, ia juga menghadapi peningkatan ketara dalam serangan siber dari Iran dan sekutunya, kata Atzaba.

"Mereka cuba menggodam segala yang mereka boleh," katanya sambil menunjukkan pergerakan Hamas dan Hizbullah Lubnan tetapi menambah setakat ini "mereka tidak berjaya menyebabkan sebarang kerosakan sebenar."

Beliau berkata kira-kira 800 serangan besar berjaya dipintas sejak perang meletus. Antara sasarannya ialah organisasi kerajaan, tentera dan infrastruktur awam.

Bagaimanapun, beberapa serangan tidak dapat digagalkan, termasuk terhadap hospital di bandar Haifa dan Safed di mana data pesakit dicuri.

Walaupun Israel sudah mempunyai pertahanan siber, mereka telah lama terdiri daripada "usaha tempatan tidak disambungkan", kata Atzaba.

Sejak dua tahun lalu, direktorat berusaha membina sistem masa nyata berpusat yang berfungsi secara proaktif bagi melindungi semua ruang siber Israel.

Berpusat di Tel Aviv, direktorat itu bekerja di bawah kuasa perdana menteri.

Ia tidak mendedahkan angka mengenai kakitangan, belanjawan atau sumber pengkomputerannya.

Israel bekerjasama rapat dengan beberapa sekutu, termasuk Amerika Syarikat, kata Atzaba, kerana "semua negara menghadapi keganasan siber."

"Ia memerlukan rangkaian untuk melawan rangkaian," katanya.

Berita Harian X