Khamis, 2 Mei 2024 | 9:58am
Sekurang-kurangnya 36 individu maut selepas sebahagian lebuh raya di wilayah Guangdong, selatan China, runtuh. - Foto ihsan Xinhua
Sekurang-kurangnya 36 individu maut selepas sebahagian lebuh raya di wilayah Guangdong, selatan China, runtuh. - Foto ihsan Xinhua

Jalan runtuh di China: Angka kematian meningkat 36

Beijing: Sekurang-kurangnya 36 individu maut selepas sebahagian lebuh raya di wilayah Guangdong, selatan China, runtuh akibat hujan lebat semalam, lapor media tempatan.

Jumlah itu meningkat berbanding laporan AFP sebelumnya yang menyatakan 24 mangsa terbunuh.

Terdahulu, agensi berita negara Xinhua melaporkan, jalan antara bandar Meizhou dan daerah Dabu di wilayah Guangdong itu runtuh pada 2.10 pagi waktu tempatan.

Xinhua sebelum ini melaporkan insiden itu menyebabkan 20 kenderaan terperangkap membabitkan 54 individu.

"Setakat jam 5.30 pagi waktu tempatan, 36 orang disahkan meninggal dunia dan 30 lagi sedang menerima rawatan kecemasan di hospital", lapor Xinhua.

Gambar udara yang disiarkan oleh media CCTV menunjukkan kenderaan remuk di dalam lubang berlumpur dekat lokasi kejadian.

Sementara puluhan kenderaan kecemasan dan kren berkumpul di sepanjang bahagian jalan yang curam.

Video yang tular di media sosial dirakam pada awal pagi, menunjukkan api dan asap keluar dari lubang di kawasan berkenaan.

CCTV melaporkan, runtuhan itu adalah bencana geologi semula jadi yang berlaku kesan hujan lebat berterusan.

Pihak berkuasa menghantar kira-kira 500 petugas ke lokasi kejadian untuk membantu operasi menyelamat, lapor CCTV.

Berita Harian X