Khamis, 2 Mei 2024 | 8:16am
Foto fail menunjukkan Manahel Al-Otaibi berjalan di Riyadh, Arab Saudi pada 2 September 2019. - Foto AFP
Foto fail menunjukkan Manahel Al-Otaibi berjalan di Riyadh, Arab Saudi pada 2 September 2019. - Foto AFP

Saudi digesa bebaskan wanita dipenjara kerana pakaian, status media sosial

DUBAI: Pertubuhan hak asasi antarabangsa, Amnesty International menggesa Arab Saudi membebaskan seorang tenaga pengajar kecergasan yang dipenjara 11 tahun didakwa disebabkan pemakaiannya serta status dimuat naik berkaitan desakan mengakhiri sistem penjagaan lelaki.

Manahel Al-Otaibi, 29, dijatuhi hukuman pada Januari lalu dan perincian kesnya ada dalam jawapan rasmi Arab Saudi kepada pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Amnesty dalam satu kenyataan semalam.

Amnesty dan Al-Qst iaitu kumpulan Saudi yang menumpukan hak asasi manusia dalam kerajaan serta berpangkalan di London itu berkata, Al-Otaibi didakwa kerana menyiarkan tanda pagar di media sosial untuk memansuhkan penjagaan lelaki serta videonya memakai pakaian dianggap 'tidak senonoh' dan membeli-belah tanpa mengenakan abaya atau jubah.

Bagaimanapun pejabat media antarabangsa Arab Saudi enggan mengulas lanjut berkaitan isu berkenaan.

Arab Saudi dalam jawapan rasminya kepada pejabat hak PBB, menafikan Al-Otaibi dijatuhkan hukuman kerana kenyataannya dalam media sosial.

Sebaliknya wanita itu "disabitkan atas kesalahan pengganas dan tidak mempunyai kaitan dengan penggunaan kebebasan pendapat atau suara atau kenyataan dalam media sosialnya."

Undang-undang antikeganasan Arab Saudi, di mana Al-Otaibi disabitkan kesalahan, dikritik oleh PBB sebagai alat yang terlalu luas untuk menyekat perbezaan pendapat.

Amnesty berkata, kakak Al-Otaibi, Fawzia menghadapi tuduhan serupa tetapi melarikan diri dari Arab Saudi selepas dipanggil untuk disoal siasat pada 2022.

Dengan hukuman ini pihak berkuasa Saudi mendedahkan mengenai kelemahan reformasi hak wanita yang sering diumumkan mereka dalam beberapa tahun terakhir serta memperlihatkan komitmen yang menakutkan untuk menyekat perbezaan pendapat," kata Bissan Fakih, aktivis Amnesty di Arab Saudi, dalam kenyataan itu.

Putera Mahkota Mohammed Salman yang mula berkuasa pada 2017 menjanjikan pembaharuan sosial dan ekonomi secara menyeluruh sekali gus melonggarkan beberapa sekatan dalam undang-undang penjagaan lelaki.

Wanita Saudi sejak itu boleh memandu kereta, mendapatkan pasport dan melancong sendiri, mendaftar kelahiran, kematian dan perceraian.

Undang-undang, bagaimanapun, masih menyukarkan wanita untuk bercerai.

Kerajaan masih menghadapi penelitian terhadap rekod hak asasi manusianya termasuk undang-undang status peribadi 2022 yang mengkodifikasikan banyak aspek perwalian lelaki, termasuk hak penjagaan lelaki ke atas kanak-kanak dan kebenaran untuk seorang wanita berkahwin.

Beberapa peruntukan dalam undang-undang berkenaan boleh memudahkan penderaan domestik, menurut Amnesty.

Walaupun Arab Saudi sudah melonggarkan kod pakaian bagi wanita asing pada 2019, aktivis hak asasi manusia berhujah bahawa wanita Saudi masih menghadapi sekatan.

Berita Harian X