Rabu, 1 Mei 2024 | 4:09pm
Filipina menuduh pengawal pantai China meningkatkan ketegangan selepas penggunaan meriam air yang merosakkan dua kapalnya. - Foto REUTERS
Filipina menuduh pengawal pantai China meningkatkan ketegangan selepas penggunaan meriam air yang merosakkan dua kapalnya. - Foto REUTERS

Filipina dakwa pengawal pantai China meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan

MANILA: Filipina menuduh pengawal pantai China meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan selepas menggunakan meriam air hingga merosakkan dua kapalnya, menurut seorang pegawai.

Pegawai Filipina, Commodore Jay Tarriela, berkata sebuah kapal pengawal pantai dan kapal perikanan rosak semalam, akibat meriam air yang digunakan oleh pengawal pantai China ketika dalam perjalanan ke Scarborough Shoal untuk membantu nelayan Filipina di kawasan itu.

"Pengawal pantai China kini meningkatkan ketegangan dan tahap pencerobohan mereka terhadap kapal pengawal pantai Filipina.

"Ini adalah kali pertama kapal pengawal pantai dikenakan meriam air secara langsung dengan tekanan seperti itu hingga mengakibatkan kerosakan struktur.

"Walaupun penggunaan meriam air China bukan serangan bersenjata ke atas kapal dan kakitangannya, tetapi China meningkatkan tekanan air apabila menyasarkan ke kapal," katanya.

Ketika ini, tiada negara yang mempunyai kedaulatan ke atas Scarborough Shoal yang terletak di lokasi strategik, kawasan perikanan utama berhampiran lorong perkapalan utama yang digunakan oleh beberapa negara.

Beting itu terletak di dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) Filipina dan menjadi sumber titik kilat yang berterusan antaranya dan China.

China menuntut kedaulatan ke atas sebahagian besar Laut China Selatan, iaitu laluan untuk lebih AS$3 trilion (RM14.3 trilion) perdagangan bawaan kapal tahunan, termasuk bahagian yang dituntut oleh Filipina, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Brunei.

Tribunal antarabangsa pada 2016 berkata, tuntutan meluas China tidak mempunyai asas undang-undang, keputusan yang ditolak oleh Beijing. - REUTERS

Berita Harian X