Selasa, 30 April 2024 | 11:48am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

MSF dedah kematian besar di Gaza akibat kemusnahan sistem penjagaan kesihatan

KUALA LUMPUR: Doktor Tanpa Sempadan (MSF), semalam mengeluarkan satu laporan situasi perubatan di Gaza, dengan memberi amaran mengenai kematian besar akibat gangguan kepada penjagaan kesihatan kritikal di wilayah terkepung itu.

Agensi itu menerusi kenyataan berkata, rakyat Palestin ketika ini berjuang untuk mengakses rawatan perubatan susulan kemusnahan besar-besaran akibat serangan yang dilakukan Israel sejak lebih enam bulan lalu.

Menurut laporan MSF bertajuk 'Gaza's Silent Killings: The destruction of the health care system and the struggle for survival in Rafah', sistem penjagaan kesihatan Gaza juga sudah musnah, dengan lelaki, wanita dan kanak-kanak berdepan peningkatan risiko kekurangan zat makanan akut dan kesihatan fizikal dan mental yang merosot dengan cepat.

"Berapa ramai kanak-kanak yang sudah meninggal dunia akibat radang paru-paru di hospital. Berapa ramai bayi yang meninggal dunia kerana penyakit yang boleh dicegah?

"Berapa ramai pesakit yang menghidap diabetes yang tidak dirawat? Bagaimana pula dengan mereka yang maut akibat penutupan unit dialisis buah pinggang di hospital yang diserang?

"Ini adalah pembunuhan senyap di Gaza yang tidak dilaporkan dalam semua kekacauan ini, disebabkan oleh keruntuhan sistem penjagaan kesihatan di seluruh Gaza," kata ketua program kecemasan MSF, Mari-Carmen Viñoles.

Pasukan MSF yang bekerja di Rafah juga melaporkan, sistem penjagaan kesihatan yang musnah dan keadaan hidup yang tidak berperikemanusiaan juga meningkatkan risiko wabak penyakit, kekurangan zat makanan dan trauma psikologi yang mempunyai kesan jangka panjang.

MSF turut menggesa gencatan senjata segera dan kekal memandangkan pencerobohan tentera di Rafah akan menyebabkan krisis kemanusiaan semasa di Gaza akan menjadi malapetaka yang tidak dapat diduga.

Berdasarkan data perubatan dan keterangan pesakit, laporan itu menyebut, keadaan hidup di Rafah, hari ini, tidak kondusif untuk penduduk terus hidup.

Katanya, kekurangan air bersih untuk minum atau mandi menambah kebimbangan manakala sampah dan kumbahan mentah terkumpul di jalan-jalan di kawasan yang kini menampung lebih sejuta orang yang dipindahkan secara paksa dari utara Gaza.

MSF berkata, pasukannya menyediakan purata 5,000 perundingan perubatan setiap minggu di dua pusat penjagaan kesihatan utama yang dikendalikan oleh MSF di kawasan Al-Shaboura dan Al-Mawasi.

"Lebih 40 peratus daripada perundingan perubatan itu adalah untuk pesakit yang mengalami jangkitan saluran pernafasan.

"MSF juga menyaksikan peningkatan bilangan kes yang disyaki hepatitis A dan dalam tempoh tiga bulan terakhir 2023, kes penyakit cirit-birit yang dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun adalah 25 kali lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2022.

"Antara Januari dan Mac 2024, sebanyak 216 kanak-kanak bawah lima tahun mengalami keadaan kekurangan zat makanan akut sederhana atau teruk, yang tidak ditemui sebelum konflik semasa," katanya.

Mereka yang hamil dan mempunyai komplikasi serta pesakit dengan penyakit kronik juga tidak dapat menerima penjagaan yang mereka perlukan, disebabkan hospital dipenuhi dengan pesakit trauma.

"Di hospital Emirati, di mana MSF menyokong jabatan selepas bersalin, pasukan perubatan bergelut untuk menangani hampir 100 kelahiran sehari, lima kali lebih banyak berbanding sebelum perang.

"Di klinik MSF, rundingan untuk hipertensi, diabetes, asma, epilepsi dan kanser juga meningkat apabila pesakit mendapatkan pemantauan dan ubat.

"Jika keadaan mereka bertambah teruk dan mereka memerlukan ubat atau peralatan khusus, yang semakin sukar diperoleh di Gaza, tidak banyak yang boleh dilakukan untuk mereka. Banyak rujukan perubatan di Gaza hari ini ditangguhkan atau tidak dapat dilakukan," lapornya.

MSF juga melaporkan kebimbangan dalam isu kesihatan mental penduduk Gaza, termasuk kakitangan perubatan, kerana kebanyakan pesakit yang tiba di klinik MSF mempunyai gejala yang berkaitan dengan kebimbangan dan tekanan, termasuk situasi psikosomatik dan kemurungan.

"Sesetengah orang yang menjaga ahli keluarga yang mengalami gangguan kesihatan mental yang teruk terpaksa menggunakan ubat pelali yang berlebihan untuk memastikan mereka selamat dan mengelakkan mereka daripada mencederakan diri sendiri atau orang lain.

"Ia disebabkan kekurangan perkhidmatan khusus yang masih berfungsi di Gaza," katanya.

MSF menjelaskan, usaha menyokong sistem penjagaan kesihatan Gaza yang musnah adalah begitu mencabar, terutama dalam membawa bekalan perubatan dan bantuan kemanusiaan ke Gaza disebabkan kelewatan dan sekatan oleh pihak berkuasa Israel.

Penyelaras kecemasan MSF, Sylvain Groulx, berkata sebagai organisasi perubatan kecemasan antarabangsa, MSF mempunyai kepakaran dan cara untuk melakukan lebih serta meningkatkan tindak balas perubatan.

"Kakitangan perubatan Palestin berkemahiran tinggi dan hanya perlu diberi kemudahan untuk bekerja dalam keadaan yang boleh diterima dan bermaruah untuk merawat dan menyelamatkan nyawa.

"Tetapi ia kekal mustahil kerana tanpa gencatan senjata serta-merta dan kekal serta kemasukan bantuan kemanusiaan yang bermakna, kita akan terus melihat lebih ramai orang mati," katanya.

Berita Harian X