Isnin, 29 April 2024 | 8:34am
Potret warga Israel yang dijadikan tebusan oleh kumpulan Hamas dilihat di hadapan perkhemahan pro-Palestin di Universiti Columbia pada 28 April 2024 di New York City, Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP
Potret warga Israel yang dijadikan tebusan oleh kumpulan Hamas dilihat di hadapan perkhemahan pro-Palestin di Universiti Columbia pada 28 April 2024 di New York City, Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP

Rundingan Israel-Hamas utamakan pembebasan tebusan, tempoh gencatan senjata

KAHERAH: Pembebasan tebusan Israel untuk tahanan Palestin dan gencatan senjata jangka panjang di Gaza menjadi agenda utama rundingan damai Israel-Hamas hari ini, dengan Qatar dan Mesir selaku pengantara.

Pegawai Hamas memberitahu Reuters bahawa rundingan di Kaherah diharapkan dapat membawa perkembangan positif mencapai perjanjian, sekali gus menghentikan serangan darat yang mahu dilancarkan Israel ke atas bandar Rafah.

Pegawai yang enggan dikenali itu berkata, delegasi terbabit akan membincangkan cadangan gencatan senjata yang diserahkan oleh Hamas kepada negara pengantara Qatar dan Mesir, termasuklah maklum balas oleh Israel.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran cadangan terbaharu itu, namun sumber daripada taklimat mengenai rundingan itu memberitahu Reuters, Hamas dijangka memberi maklum balas kepada cadangan gencatan senjata berperingkat terbaharu oleh Israel yang sudah diserahkan kelmarin.

Antara lain, kata sumber itu, ia termasuk perjanjian untuk menerima pembebasan tidak kurang daripada 40 tebusan Israel sebagai pertukaran untuk membebaskan penduduk Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Selain itu, cadangan fasa kedua gencatan senjata yang merangkumi 'tempoh ketenangan yang berterusan' sekurang-kurangnya enam minggu - sebagai tindak balas susulan tolak ansur Israel terhadap tuntutan Hamas untuk gencatan senjata kekal.

Sumber menyatakan lagi, selepas fasa pertama berlangsung, Israel juga akan membenarkan pergerakan bebas antara selatan dan utara Gaza serta pengunduran sebahagian tentera Israel dari Gaza.

Semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Rumah Putih berkata, mereka menyemak rundingan itu untuk memastikan pembebasan tebusan yang ditahan sejak serangan 7 Oktober lalu dan memastikan gencatan senjata serta-merta di Gaza.

Katanya, mereka juga membincangkan peningkatan kadar penghantaran bantuan, termasuk persediaan untuk membuka lintasan baharu ke Gaza.

"Presiden juga menekankan keperluan untuk langkah ini dikekalkan dan dipertingkatkan melalui penyelarasan penuh dengan pertubuhan kemanusiaan," kata kenyataan itu.

Rumah Putih berkata, Biden turut 'mengulangi pendiriannya yang jelas' mengenai kemungkinan pencerobohan bandar sempadan Gaza Rafah.

Washington berkata, mereka tidak boleh menyokong operasi Rafah tanpa rancangan kemanusiaan yang sesuai dan boleh dipercayai.

Sejurus selepas panggilan Biden-Netanyahu itu, Jabatan Negara AS berkata, Setiausaha Negara Antony Blinken juga akan mengadakan lawatan ke Asia Barat untuk membincangkan usaha ke arah gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

Beliau akan ke Jordan dan Israel selepas melawat Arab Saudi.

Sementara itu, seorang lagi pegawai kanan Hamas memberitahu Reuters, delegasinya yang diketuai timbalan ketua Hamas di Gaza, Khalil Al-Hayya, akan terbang ke Kaherah dari ibu negara Qatar, Doha.

Rundingan itu akan berlangsung di antara delegasi Hamas dan Qatar serta Mesir bagi membincangkan maklum balas Israel terhadap cadangan mereka baru-baru ini.

Pusingan rundingan sebelum ini gagal dipersetujui kedua-dua pihak apabila Israel hanya menawarkan gencatan senjata sementara bagi pembebasan sekitar 130 tebusan Israel dan membenarkan penghantaran lebih banyak bantuan kemanusiaan.

Mereka berkata, pasukan pertahanan israel (IDF) tidak akan menamatkan operasinya sehingga ia mencapai matlamatnya untuk memusnahkan Hamas.

Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, semalam turut menggesa Netanyahu supaya tidak berundur daripada serangan ke atas Rafah dan berkata, bersetuju dengan cadangan gencatan senjata akan menjadi kekalahan yang memalukan.

Menerusi video, beliau berkata tanpa menghapuskan Hamas 'sebuah kerajaan yang diketuai Netanyahu tidak akan mempunyai hak untuk wujud'.

Anggota Kabinet perang Israel, Benny Gantz di laman X pula berkata, 'memasuki Rafah adalah penting dalam perjuangan panjang menentang Hamas. Pemulangan mangsa culik kami... perlu disegerakan dan lebih penting," katanya - AFP

Berita Harian X