Ahad, 28 April 2024 | 3:19pm
Akdeniz RoRo, salah sebuah kapal yang menyertai Gabungan Flotilla Kebebasan (FFC), ketika berlabuh di pelabuhan Tuzla, berhampiran Istanbul, Turkiye. - Foto AFP
Akdeniz RoRo, salah sebuah kapal yang menyertai Gabungan Flotilla Kebebasan (FFC), ketika berlabuh di pelabuhan Tuzla, berhampiran Istanbul, Turkiye. - Foto AFP

Flotilla bantuan ke Gaza dihentikan selepas bendera kapal diturunkan

ISTANBUL: Bantuan kemanusiaan Gabungan Flotilla Kebebasan (FFC) ke Gaza dihentikan selepas Guinea Bissau memutuskan untuk menarik balik benderanya dari dua kapal, kata aktivis kumpulan itu.

Aktivis berkata, Daftar Kapal Antarabangsa Guinea-Bissau (GBISR), memaklumkan FFC bahawa ia mengeluarkan bendera Guinea Bissau dari dua kapal terbabit, salah satunya adalah kapal kargo milik mereka.

Tambah mereka, tiga kapal bernaung di bawah FFC itu sepatutnya belayar kelmarin dari pelabuhan di Turkiye dengan membawa lebih 5,000 tan bantuan.

Aktivis terbabit turut menyifatkan pemeriksaan dan permintaan pihak berkuasa Guinea Bissau sebagai luar biasa dan bermotifkan politik manakala GBISR tidak mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu.

Yayasan Bantuan Kemanusiaan Turkiye (IHH) iaitu penganjur utama FFC yang dianggotai aktivis hak asasi manusia termasuk peguam, doktor dan jururawat yang berkumpul untuk menyampaikan bantuan terus ke Gaza.

Kelmarin, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut laluan selamat flotilla dan menggesa Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa supaya tidak menghalang bantuan kemanusiaan.

"Tanpa bendera, kita tidak boleh belayar, tetapi ini bukan penamat. Israel tidak boleh dan tidak akan menghancurkan keazaman kami untuk memecahkan kepungan haramnya untuk sampai kepada penduduk Gaza," kata aktivis itu. - REUTERS

Berita Harian X