Ahad, 28 April 2024 | 2:08pm
Kapal sokongan Tentera Laut Diraja Britain, ‘Cardigan Bay’ kini dalam perjalanan sedang ke Gaza bagi menempatkan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang membina jeti untuk mempercepatkan penghantaran bantuan ke Gaza. - Foto AFP
Kapal sokongan Tentera Laut Diraja Britain, ‘Cardigan Bay’ kini dalam perjalanan sedang ke Gaza bagi menempatkan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang membina jeti untuk mempercepatkan penghantaran bantuan ke Gaza. - Foto AFP

Israel harap jeti di Gaza siap awal Mei, mahu terus serang Hamas

BAITULMAQDIS: Tentera Israel berharap jeti bantuan di Gaza siap dibina menjelang Mei, sementara ia meneruskan serangannya terhadap Hamas mengikut perancangan.

Serangan Israel selama lebih enam bulan mencetuskan krisis kemanusiaan dan ia berdepan tekanan yang semakin meningkat bagi membolehkan lebih banyak penghantaran bantuan.

Khamis lalu, Pentagon berkata tentera Amerika Syarikat (AS) sudah memulakan pembinaan jeti bagi meningkatkan penghantaran bantuan dan memaklumkan struktur itu akan beroperasi pada awal Mei.

"Kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi kami dalam usaha ini, diharapkan ia dapat berfungsi sepenuhnya pada awal Mei," kata jurucakap tentera Israel, Mejar Nadav Shoshani, dalam taklimat secara dalam talian semalam.

Awal minggu ini, seorang pegawai kanan tentera AS berkata bantuan itu akan dihantar ke Cyprus terlebih dulu untuk disaring sebelum melakukan penghantaran memasuki Gaza.

Shoshani menegaskan 'tidak akan ada campur tangan tentera AS. Jadi, sebaik sahaja bantuan sampai ke jeti itu, pertubuhan kemanusiaan antarabangsa akan menjadi orang yang melaksanakan pengagihannya'.

Sementara itu, sumber pertahanan United Kingdom (UK) berkata sebuah kapal British yang menempatkan ratusan tentera AS yang membina jeti itu sudah berlayar dari Cyprus.

Jeti itu akan meningkatkan penghantaran konvoi bantuan daripada 90 trak kepada 150 trak sehari, menurut anggaran AS.

Rancangan untuk pembuatan jeti itu pertama kali diumumkan oleh Presiden AS, Joe Biden, pada awal Mac kerana Israel dituduh menahan penghantaran bantuan di darat.

AS, sekutu utama Israel dan pembekal senjata, sudah berulang kali menyatakan kekecewaan orang ramai yang semakin meningkat terhadap Israel atas tindakannya dalam perang Gaza.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kebuluran akan melanda Gaza dalam tempoh enam minggu akan lagi melainkan bantuan makanan besar-besaran tiba.

Agensi PBB berkata, penghantaran maritim sahaja tidak dapat menjanjikan bantuan yang mencukupi untuk mengelak ancaman kebuluran dan menggesa Israel untuk membuka lebih banyak lintasan sempadan untuk konvoi laluan darat.

Shoshani berkata, lebih 25,000 trak sudah memasuki Semenanjung Gaza sejak permulaan perang dan lebih 16,000 daripadanya membawa makanan."

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB, hampir 23,000 trak sudah memasuki Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Sebelum perang, kira-kira 500 trak sarat bantuan memasuki Gaza setiap hari, katanya. - AFP

Berita Harian X