Ahad, 28 April 2024 | 8:23am
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

5 maut di China selepas puting beliung membadai Guangzhou

BEIJING: Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 33 cedera selepas puting beliung melanda bandar Guangzhou di China pada Sabtu, lapor media kerajaan.

Agensi berita rasmi China, Xinhua, melaporkan bahawa puting beliung melanda ibu kota Wilayah Guangdong, di selatan negara itu, sekitar jam 3 petang (0700 GMT).

Cuaca melampau adalah fenomena terbaru melanda kawasan perindustrian negara itu sejak kebelakangan ini.

Guangdong, wilayah paling ramai penduduk di China, dihuni sekitar 127 juta orang dan menempatkan beribu-ribu kilang yang menguasai sektor eksport negara.

Kira-kira 141 kilang rosak, walaupun tiada rumah yang runtuh, lapor Xinhua.

Imej yang disiarkan oleh media kerajaan menunjukkan langit gelap pada waktu tengah hari manakala imej media sosial menunjukkan kereta rosak dan pokok tumbang.

Awal minggu ini, hujan lebat di Guangdong menyebabkan banjir serius, menyebabkan empat orang maut.

Menurut media kerajaan, ia adalah banjir terburuk yang pernah dilihat beberapa bahagian wilayah itu sejak 1950-an.

Puting beliung bukanlah sesuatu yang luar biasa di China, di mana pada September, 10 orang terbunuh selepas puting beliung melanda Suqian, Wilayah Jiangsu, di timur negara itu.

Pada 2021, dua puting beliung melanda negara itu dalam sehari, membunuh 12 mangsa, termasuk lapan di Wuhan. - AFP

Berita Harian X