Jumaat, 26 April 2024 | 10:31am
Khemah yang didirikan di kawasan al-Mawasi di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza untuk memindahkan pelarian Palestin sebelum Israel memulakan serangan darat ke atas Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Khemah yang didirikan di kawasan al-Mawasi di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza untuk memindahkan pelarian Palestin sebelum Israel memulakan serangan darat ke atas Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Israel mula operasi darat di benteng terakhir Hamas di Rafah

GAZA: Rakyat Palestin di Rafah mengebumikan mangsa yang terkorban akibat pengeboman terbaharu Israel dalam suasana penuh ketakutan akibat terkepung dan terdedah kepada serangan udara.

Tiada lagi tempat untuk mereka lari atau berlindung ketika pengeboman dilakukan Israel sebelum disusuli dengan pencerobohan darat Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Kebimbangan global semakin memuncak berhubung operasi di Rafah, di mana kebanyakan penduduk Gaza berlindung selama lebih enam bulan perang berlarutan, dengan hampir keseluruhan wilayah itu musnah dibom.

Kumpulan bantuan memberi amaran bahawa sebarang pencerobohan akan menambah malapetaka kepada 2.4 juta penduduk Gaza yang terkepung dalam kawasan sempit.

Jurucakap kerajaan Israel, David Mencer, berkata Kabinet perang bermesyuarat semalam bagi membincangkan cara untuk memusnahkan batalion terakhir Hamas di Rafah.

Kepulan asap dan api menjulang semasa serangan udara terbaharu Israel di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Kepulan asap dan api menjulang semasa serangan udara terbaharu Israel di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Beberapa media Israel, memetik pegawai yang tidak dinamakan, berkata Kabinet membincangkan rancangan baharu untuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan, menjelang lawatan oleh delegasi Mesir, hari ini.

Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) menjadi negara pengantara bagi perbincangan gencatan senjata dan pembebasan tebusan antara Israel serta Hamas.

Perbincangan itu bagaimanapun tidak berjaya sejak pertempuran dihentikan selama seminggu pada November lalu.

Ketika protes solidariti dengan rakyat Palestin tersebar di kampus serata AS, Presiden AS, Joe Biden, menandatangani rang undang-undang (RUU) meluluskan AS$13 bilion (RM61.8 bilion) bantuan ketenteraan tambahan untuk Israel dan AS$1 bilion (RM4.7 bilion) bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

Perang Gaza juga membawa kepada peningkatan keganasan antara Israel dan proksi serta sekutu Iran, sekali gus meningkatkan ketegangan serantau.

Israel turut meningkatkan serangan terhadap Lubnan manakala Hizbullah yang disokong Iran meningkatkan kekerapan serangan rentas sempadan menyasarkan pangkalan tentera Israel.

Lori menunggu di Rafah, sempadan Mesir dan Semenanjung Gaza. - Foto hiasan REUTERS
Lori menunggu di Rafah, sempadan Mesir dan Semenanjung Gaza. - Foto hiasan REUTERS

Hizbullah, semalam, menafikan komen Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant bahawa 'separuh daripada komander Hizbullah di selatan Lubnan sudah disingkirkan' dalam tempoh beberapa bulan keganasan.

Di Gaza, saksi melaporkan pertempuran berlaku berhampiran kem pelarian Nuseirat, ketika perhatian dunia tertumpu ke Rafah.

Wall Street Journal berkata Israel merancang untuk memindahkan orang awam ke Khan Younis dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini, sebelum menghantar tentera secara beransur-ansur di bawah strategi serangan darat di Rafah.

Pegawai kanan Hamas, Ghazi Hamad, memberitahu AFP bahawa Israel tidak akan mencapai apa yang mereka mahukan di Rafah dan memberi amaran pencerobohan akan mengancam rundingan serta membuktikan Israel berminat untuk meneruskan peperangan.

Duta Palestin ke Kaherah, Diab Allouh berkata, sejak perang bermula, antara 80,000 dan 100,000 rakyat Palestin dari Gaza memasuki Mesir.

Semalam, pemimpin AS, Britain, Perancis dan puluhan negara lain menyatakan sokongan bagi perjanjian damai dan menggesa Hamas membebaskan baki tebusan yang masih ada. - AFP

Berita Harian X