Khamis, 25 April 2024 | 5:10pm
Sebuah kenderaan dihanyutkan air banjir berikutan hujan lebat di Jiangwan, Guangdong, China. - Foto REUTERS
Sebuah kenderaan dihanyutkan air banjir berikutan hujan lebat di Jiangwan, Guangdong, China. - Foto REUTERS

China pindah penduduk seluruh bandar berikutan hujan, ribut landa selatan negara itu

BEIJING: Hujan tanpa henti, hujan batu serta angin ribut yang melanda selatan China, memaksa pemindahan seluruh bandar yang mempunyai lebih 1,700 orang di wilayah Guangdong, lapor media, hari ini.

Bas dan helikopter digunakan bagi mengangkut semua penduduk perbandaran Jiangwan di wilayah Shaoguan susulan pusingan baharu banjir bermula, kata laporan yang memetik pihak berkuasa tempatan.

"Saya tidak pernah menyaksikan hujan sebegitu lebat dalam hidup saya dan tiada orang yang lebih tua daripada usia saya," kata Jiang, seorang penduduk berusia 72 tahun yang hanya memberikan nama keluarganya, menurut China Daily yang dikendalikan kerajaan.

Disebabkan hujan tanpa henti serta angin ribut, talian elektrik terputus dan rangkaian telefon mudah alih tergendala di seluruh rantau itu selain hujan menyebabkan tanah runtuh berbahaya, rumah ditenggelami air dan jambatan musnah.

Sejak kedatangan ribut kuat minggu lalu, insiden malapetaka berlaku di seluruh wilayah itu, yang pernah digelar sebagai "kilang bertingkat dunia", berikutan berpuluh-puluh rekod hujan tempatan telah dipecahkan untuk bulan April.

Sementara itu, rakaman video di media sosial memperlihatkan pelanggan berada di dalam restoran di ibu kota wilayah Guangzhou yang dipercayai dirakamkan pada minggu ini, merenung keluar dengan penuh ketakutan, apabila angin ribut seperti taufan dan menumbangkan pokok, dengan lembaran hujan bergerak laju membadai jalan di luar.

Wilayah yang terdedah kepada banjir musim panas diuji pertahanannya pada Jun 2022 dengan hujan lebat paling lebat dalam tempoh enam dekad, sekali gus memaksa pemindahan ratusan ribu penduduknya.

Ribut terbaru ini mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang, diburukkan oleh fenomena cuaca El Nino dan subtropika tinggi yang lebih berkuasa daripada biasa, sistem tekanan tinggi separa kekal yang beredar di utara khatulistiwa.

Suhu panas menarik lebih banyak udara sarat lembapan dari Laut China Selatan dan bahkan dari sejauh Teluk Benggala, kata pegawai cuaca, sehingga ia membawa kepada lebih banyak hujan dan angin. - REUTERS

Berita Harian X