Khamis, 25 April 2024 | 10:28am
kapal Akdeniz RoRo, sebahagian daripada Gabungan Freedom Flotilla, menunggu untuk belayar dari pelabuhan Tuzla, berhampiran Istanbul, Turkiye, menuju ke Gaza membawa bantuan kepada penduduk Palestin, sebaik sahaja ia menerima lampu hijau daripada pihak berkuasa Turkiye. - Foto AFP
kapal Akdeniz RoRo, sebahagian daripada Gabungan Freedom Flotilla, menunggu untuk belayar dari pelabuhan Tuzla, berhampiran Istanbul, Turkiye, menuju ke Gaza membawa bantuan kepada penduduk Palestin, sebaik sahaja ia menerima lampu hijau daripada pihak berkuasa Turkiye. - Foto AFP

Freedom Flotilla to Gaza mula belayar esok

ISTANBUL: Freedom Flotilla Coaltion (FFC) mengesahkan sudah melengkapkan segala keperluan bagi membolehkan misi pelayaran Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza yang dijadualkan esok dapat disempurnakan.

Menurut Jawatankuasa Pemandu FFC, Zohar Chamberlain-Regev, ia termasuk keperluan teknikal dan kakitangan, merujuk kepada proses menyediakan dan menguruskan ahli kru diperlukan untuk suatu operasi atau aktiviti tertentu seperti mengendalikan kapal dan pesawat.

Ia juga melibatkan beberapa tugasan seperti merekrut, melatih dan mengawasi kakitangan yang terlibat dalam melaksanakan misi atau perjalanan.

"Untuk misi ini, kumpulan terakhir yang melibatkan peserta yang baru tiba sudah selesai menjalani latihan anti keganasan pada Rabu.

"Kami (FFC) juga sedang bekerja bagi memindahkan kapal-kapal terlibat ke pelabuhan di Istanbul di mana prosedur dokumen untuk ratusan peserta dapat dilengkapkan untuk membolehkan pelayaran bermula pada pagi Jumaat," katanya.

Tambahnya, misi itu terus menerima sokongan daripada jutaan warga global yang terkesan dengan kegagalan dunia untuk melindungi kebajikan masyarakat Palestin.

Berdasarkan logistik sedia ada, tiga buah kapal iaitu satu kapal kargo 5000 tan dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1,000 peserta terlibat dalam misi ini.

Kapal-kapal ini akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa buah kenderaan termasuk lapan buah ambulans melalui perairan antarabangsa, bukan Israel. - AGENSI

Berita Harian X