Rabu, 24 April 2024 | 6:46pm
Seorang budak lelaki membantu seorang penjual menyusun barang dagangannya di celah-celah runtuhan bangunan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 23 April 2024 tatkala konflik yang berterusan di wilayah Palestin antara Israel dan Hamas. - Foto AFP
Seorang budak lelaki membantu seorang penjual menyusun barang dagangannya di celah-celah runtuhan bangunan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 23 April 2024 tatkala konflik yang berterusan di wilayah Palestin antara Israel dan Hamas. - Foto AFP

Israel siap sedia pindah orang awam di Rafah menjelang serangan dijanjikan

BAITULMAQDIS: Israel menyediakan puluhan ribu khemah bagi tujuan pemindahan orang awam Palestin yang berhasrat dipindahkan dari Rafah dalam beberapa minggu akan datang menjelang serangan yang dijanjikannya ke atas bandar yang dilihatnya sebagai benteng terakhir Hamas di Semenanjung Gaza, menurut sumber Israel, hari ini.

Rafah yang bersempadan Mesir, menjadi tumpuan berikutan lebih sejuta rakyat Palestin yang melarikan diri daripada serangan Israel apabila seluruh Gaza itu lebih enam bulan dilanda perang.

Nasib mereka membimbangkan kuasa Barat serta Kaherah, yang menolak sebarang kemasukan pelarian ke Sinai Mesir.

Selepas berminggu-minggu berbincang dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai perlindungan awam, Kementerian Pertahanan Israel membeli 40,000 khemah, setiap satu dengan kapasiti untuk 10 hingga 12 orang, untuk rakyat Palestin yang dipindahkan dari Rafah, kata sumber kerajaan Israel.

Video yang disebarkan dalam talian menunjukkan deretan khemah putih persegi dilihat di Khan Younis, sebuah bandar kira-kira lima kilometer dari Rafah.

Namun setakat ini, Reuters tidak dapat mengesahkannya, tetapi menerima imej daripada syarikat satelit Maxar yang menunjukkan beberapa khemah di tanah Khan Younis yang kosong pada 7 April lalu.

Sehingga kini, Kementerian Pertahanan Israel menolak untuk memberikan ulasan.

Sumber kerajaan berkata, kabinet perang Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu merancang untuk bertemu dalam dua minggu akan datang untuk membenarkan pemindahan orang awam yang dijangka mengambil masa kira-kira sebulan sebagai peringkat pertama menyerang Rafah dan setakat ini pejabat Netanyahu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya.

Walaupun tidak membincangkan rancangan pertempuran tertentu, tentera Israel semakin menunjukkan kesiapsiagaan bergerak ke Rafah.

Hamas diserang sengit di bahagian utara selain digempur bertubi-tubi di tengah-tengah Semenanjung.

Menurut komander Divisyen ke-162 yang beroperasi di Gaza, Brigedier Jeneral Itzik Cohen, pihaknya akan menyerang Rafah tidak lama lagi.

"Hamas perlu tahu apabila IDF (Pasukan Pertahanan Israel) menuju ke Rafah, ia akan melakukan yang terbaik bagi memastikan Hamas mengangkat tangan menyerah.

"Rafah tidak akan menjadi Rafah seperti hari ini... Tidak akan ada amunisi di sana. Dan tidak akan ada tebusan di sana," katanya yang memberitahu stesen televisyen awam, Kan, semalam.

Sebaliknya hari ini, tentera berkata, pihaknya sudah menggerakkan dua briged simpanan untuk misi di Gaza.

Israel berkata, Rafah adalah tempat kepada empat batalion tempur Hamas yang diperkuatkan oleh beribu-ribu pejuang kumpulan pejuang Islam yang berundur. Kata Israel, kemenangan dalam perang Gaza yang dilancarkan selepas pembunuhan rentas sempadan dan penculikan yang dimulakan Hamas pada 7 Oktober, mustahil tanpa mengambil Rafah serta menghancurkan Hamas dan memulihkan mana-mana tebusan di sana.

Namun setakat ini, Hamas tidak mengulas mengenai penempatannya.

Dalam ucapannya semalam, yang menandakan hari ke-200 perang, jurucakap sayap bersenjata Hamas, Abu Ubaida berkata, Israel hanya mencapai 'penghinaan dan kekalahan' dalam perang yang menurut pegawai perubatan Gaza membunuh lebih 34,000 rakyat Palestin.

Hamas membunuh 1,200 orang dan menculik 253 pada 7 Oktober, menurut pengiraan Israel.

Daripada tebusan itu, 129 masih berada di Gaza, kata pegawai Israel dan menurut tenteranya lebih 260 tentera terbunuh dalam pertempuran darat sejak 20 Oktober.

Felo Bersekutu Kanan dalam Kajian Keselamatan Antarabangsa di Institut Perkhidmatan Diraja Bersatu, HA Hellyer, berkata beliau menjangkakan serangan ke atas Rafah 'lebih cepat daripada dijangkakan' kerana Netanyahu berada di bawah tekanan untuk memenuhi objektifnya yang dinyatakan untuk menyelamatkan tebusan dan membunuh semua pemimpin Hamas.

"Pencerobohan ke atas Rafah tidak dapat dielakkan kerana cara dia merangka semua ini.

"Tetapi tidak mungkin semua orang meninggalkan bandar, jadi "jika dia menghantar tentera ke Rafah, akan ada banyak korban," katanya.

Mesir berkata, negaranya memberi amaran kepada Israel supaya tidak beralih ke Rafah.

Tindakan sedemikian, kata Perkhidmatan Maklumat Negara Mesir, 'akan membawa kepada pembunuhan beramai-ramai manusia, kerugian (dan) kemusnahan yang meluas'. - REUTERS

Berita Harian X