Rabu, 24 April 2024 | 4:22pm
Tempat kejadian jenayah digambarkan di Gereja Assyrian Christ The Good Shepherd selepas serangan pisau. - Foto REUTERS
Tempat kejadian jenayah digambarkan di Gereja Assyrian Christ The Good Shepherd selepas serangan pisau. - Foto REUTERS

Tujuh ditahan polis dalam serbuan 'keganasan' Australia

SYDNEY: Polis Australia menahan tujuh individu yang menimbulkan 'risiko dan ancaman tidak boleh diterima' kepada orang ramai selepas melakukan serbuan antikeganasan membabitkan lebih 400 pegawainya, hari ini.

Polis berkata, kesemua individu itu dikaitkan dengan seorang remaja berusia 16 tahun yang didakwa menikam seorang paderi Assyria di Sydney dan berpegang kepada 'ideologi pelampau bermotifkan agama'.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dave Hudson, berkata 'kemungkinan' kumpulan itu boleh merancang serangan, walaupun tiada bukti jelas sasaran dibuat.

"Tingkah laku mereka semasa dalam pengawasan, membuatkan kami percaya jika mereka melakukan apa-apa perbuatan, kami tidak akan dapat menghalangnya.

"Dan kami percaya, melalui penyiasatan kemungkinan serangan mungkin berlaku," katanya kepada pemberita.

Polis berkata, semua pesalah masih di bawah umur.

Paderi, Mar Mari Emmanuel ditetak di kepala dan dada oleh suspek berusia 16 tahun minggu lalu, mencetuskan rusuhan oleh pengikut Gereja Assyrian Christ The Good Shepherd, di barat Sydney.

Polis dengan segera menyifatkan tindakan remaja itu sebagai tindakan 'pengganas'.

Hasil daripada penetapan itu, pasukan petugas bersama memerangi keganasan membuka siasatan, menggabungkan pasukan polis negeri dan persekutuan serta Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO).

Emmanuel mempunyai hampir 200,000 pengikut dalam talian, menggembirakan ramai dengan kritikannya terhadap vaksin COVID-19 dan perintah penutupan serta Islam.

Kawasan itu adalah hab bagi komuniti kecil Kristian Assyria di Sydney, dengan kebanyakan mereka melarikan diri daripada penganiayaan dan peperangan di Iraq dan Syria. - AFP

Berita Harian X