Selasa, 23 April 2024 | 5:27pm
Gambar udara yang diambil pada 22 April 2024 menunjukkan pemandangan umum bangunan dan jalan yang ditenggelami air selepas hujan lebat di bandar Qingyuan, di wilayah Guangdong di selatan China. - Foto AFP
Gambar udara yang diambil pada 22 April 2024 menunjukkan pemandangan umum bangunan dan jalan yang ditenggelami air selepas hujan lebat di bandar Qingyuan, di wilayah Guangdong di selatan China. - Foto AFP

Amaran ribut hujan tahap tertinggi dikeluarkan di Guangdong, selatan China

BEIJING: Lebih 100,000 orang sudah dipindahkan akibat hujan lebat dan banjir yang boleh membawa maut di selatan China.

Kerajaan hari ini turut mengeluarkan amaran ribut hujan peringkat tertinggi di kawasan terjejas.

Hujan lebat melanda Guangdong sejak beberapa hari kebelakangan ini sehingga meningkatkan paras air sungai dan menimbulkan kebimbangan berlakunya banjir teruk dengan media kerajaan melaporkan mungkin ia hanya "dilihat sekitar sekali dalam satu abad".

Bandar besar Shenzhen adalah antara kawasan yang disenaraikan mengalami hujan sangat lebat, menurut balai cerap meteorologi bandar itu, sambil menambah risiko banjir kilat adalah "sangat tinggi".

Imej dari Qingyuan iaitu sebuah bandar di utara Guangdong menunjukkan sebuah bangunan hampir tenggelam sepenuhnya di taman yang ditenggelami air yang berdekatan dengan sungai.

Media rasmi pada Ahad lalu melaporkan lebih 45,000 orang sudah dipindahkan dari Qingyuan Agensi berita negeri Xinhua berkata 110,000 penduduk di seluruh Guangdong turut dipindahkan sejak hujan lebat bermula pada hujung minggu lalu.

Empat orang dilaporkan meninggal dunia setakat ini manakala 10 lagi mangsa masih hilang, menurut media kerajaan. - AFP

Berita Harian X