Selasa, 23 April 2024 | 4:57pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Penggodam Korea Utara lancarkan serangan siber dalam syarikat pertahanan Korea Selatan

SEOUL: Kumpulan penggodam utama Korea Utara melancarkan serangan siber secara besar-besaran terhadap syarikat pertahanan Korea Selatan selama lebih setahun, sekaligus melanggar rangkaian dalaman firma itu serta mencuri data teknikal, menurut polis Korea Selatan, hari ini.

Pasukan penggodam yang dikaitkan dengan ejen perisikan Korea Utara yang dikenali sebagai Lazarus, Kimsuky dan Andariel meletakkan kod dalam sistem data syarikat pertahanan sama ada secara langsung atau melalui kontraktor yang bekerja dengan mereka, kata polis.

Polis turut bekerjasama dengan pasukan agensi pengintip negara dan pakar sektor swasta, mengesan kumpulan penggodam itu menerusi sumber alamat IP, penghalaan semula isyarat seni bina dan perisian malwares yang digunakan, katanya.

Dalam kes yang bermula pada November 2022, penggodam meletakkan kod dalam rangkaian awam syarikat yang kemudiannya menjangkiti internetnya apabila program keselamatan yang melindungi sistem dalaman diputuskan buat sementara waktu untuk ujian rangkaian, katanya.

Penggodam turut mengambil kesempatan daripada kelemahan keselamatan oleh pekerja subkontraktor kerana menggunakan kor laluan yang mudah dan sama bagi semua akaun emel peribadi dan rasmi mereka, membolehkan mereka memasuki rangkaian syarikat pertahanan dan mendapatkan data teknikal sulit.

Polis tidak menamakan syarikat yang digodam atau data yang diperolehi.

Korea Selatan menjadi pengeksport produk pertahanan global yang utama dengan kontrak ditandatangani dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk menjual howitzer berjentera, kereta kebal dan jet pejuang bernilai berbilion dolar.

Kumpulan penggodam Korea Utara menyelinap masuk ke dalam sistem institusi kewangan dan saluran berita Korea Selatan, syarikat pertahanan asing serta dalam pengendali kuasa nuklear Korea Selatan.

Penggodam Korea Utara dipercayai berada di belakang kecurian mata wang kripto utama, dengan dana yang dicuri disalurkan ke program senjatanya.

Korea Utara menafikan pembabitannya dalam operasi penggodaman atau rompakan kripto. - REUTERS

Berita Harian X