Isnin, 22 April 2024 | 1:14pm
Pejalan kaki memegang payung, menyeberang jalan di tengah-tengah hujan ribut di Shenzhen, wilayah Guangdong, China, semalam. -REUTERS
Pejalan kaki memegang payung, menyeberang jalan di tengah-tengah hujan ribut di Shenzhen, wilayah Guangdong, China, semalam. -REUTERS

11 hilang, puluhan ribu dipindahkan akibat ribut di selatan China

BEIJING: Sekurang-kurangnya 11 hilang, manakala puluhan ribu lagi penduduk dipindahkan selepas ribut melanda selatan China di Guangdong.

Menurut laporan media tempatan Xinhua, hujan lebat yang berlaku sejak beberapa hari lalu menyebabkan air memenuhi sungai, sekali gus dikhuatiri berlaku banjir besar iaitu bencana yang hanya berlaku kira-kira sekali dalam satu abad di situ.

"Seramai 11 orang hilang selepas hujan lebat berterusan melanda banyak bahagian (Guangdong) dalam beberapa hari kebelakangan ini," kata laporan itu memetik jabatan pengurusan kecemasan tempatan.

Pada masa sama, menurut Xinhua, lebih 53,000 orang dipindahkan ke seluruh wilayah itu.

Daripada jumlah itu, katanya, lebih 45,000 dipindahkan dari bandar Qingyuan di utara Guangdong, yang merentasi tebing Sungai Bei.

"Hujan lebat dijangka berterusan hari ini (Isnin) dengan pihak berkuasa meteorologi meramalkan ribut petir dan angin kencang di perairan pantai Guangdong," katanya.

Menurut Pusat Meteorologi Negara, wilayah berhampiran, termasuk Fujian, Guizhou dan Guangxi, juga dijangka terjejas akibat hujan lebat.

"Dijangka tempoh kesan utama akibat perolakan kuat akan berlangsung dari siang hingga malam," katanya.

Wilayah Guangdong ialah kawasan perkilangan yang padat dengan kira-kira 127 juta penduduk.

Lapor media tempatan, enam cedera dan beberapa yang lain terperangkap dalam tanah runtuh akibat hujan lebat pada Ahad di bandar Jiangwan.

Foto yang diterbitkan penyiar kerajaan CCTV menunjukkan rumah di tepi pantai musnah akibat lumpur dengan orang ramai berlindung di gelanggang sukan.

Banjir setinggi 5.8 meter melebihi had amaran berlaku di anak sungai Pearl River, hari ini.

China kerap dilanda cuaca ekstrem tetapi beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan negara itu dilanda banjir teruk, kemarau dan rekod panas. -AFP

Berita Harian X