Ahad, 21 April 2024 | 6:02pm
Antara kawasan dilanda banjir di Guangdong, China. - Foto AFP
Antara kawasan dilanda banjir di Guangdong, China. - Foto AFP

Banjir besar dijangka berlaku di Guangdong, China

BEIJING: Paras air yang tinggi di sungai utama, laluan air dan kawasan takungan air dikhuatiri menyebabkan bencana banjir buruk di wilayah Guangdong, China.

Justeru, kerajaan negara itu terpaksa menggubal pelan tindak balas kecemasan bagi melindungi lebih 127 juta penduduknya di sana.

Memetik laporan penyiar rasmi China, CCTV, pegawai kaji cuaca tempatan mendakwa bahagian sungai utama dan anak sungai di kawasan sungai Xijiang dan Beijing mencecah paras air tertinggi, yang lazimnya hanya berlaku sekali dalam tempoh 50 tahun.

Banjir besar dijangka berlaku di lembangan Beijiang, lapor CCTV memetik Kementerian Sumber Air China, yang mendorong mereka mengeluarkan nasihat kecemasan.

Pihak berkuasa Guangdong menggesa jabatan di semua kawasan dan majlis perbandaran memulakan perancangan kecemasan bagi mengelakkan bencana alam.

Dana bantuan bencana dan barang keperluan juga segera disalurkan memastikan mereka yang terjejas mempunyai bekalan makanan, pakaian, air dan tempat tinggal.

Wilayah itu mengalami hujan lebat selama beberapa hari dan angin kencang akibat perubahan cuaca buruk yang telah pun menjejaskan beberapa kawasan di China sejak beberapa minggu lalu.

Hujan lebat selama 12 jam, bermula dari jam 8 malam waktu tempatan, melanda bahagian tengah dan utara wilayah di Zhaoqing, Shaoguan, Qingyuan dan Jiangmen.

Menurut laporan media kerajaan, hampir 20,000 orang penduduk telah dipindahkan di Qingyuan dan bekalan elektrik terputus di Zhaoqing serta beberapa lagi kawasan.

"Bandar Huaiji Zhaoqing menjadi bandar air. Warga emas dan kanak-kanak di luar bandar tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan. Bekalan elektrik terputus dan tiada isyarat telekomunikasi," kata seorang pengguna di laman sosial popular Weibo.

Berdasarkan rakaman video yang disiarkan Hongxing News, air banjir berlumpur telah menghanyutkan sebuah kenderaan di jalan sempit di Zhaoqing.

"Saya tidak nampak langsung jalan ketika memandu pulang malam tadi, hujan lebat seperti air terjun selama sejam setengah di lebuh raya," kata seorang lagi pengguna Weibo.

Pegawai bandar memaklumkan bahawa banyak stesen hidrologi di wilayah Guangzhou telah melebihi paras air dan takungan air mencapai had banjir.

Data menunjukkan 2,609 stesen hidrologi dengan taburan hujan harian melebihi 50 milimeter, membabitkan kira-kira 59 peratus daripada semua stesen cerapan.

Setakat jam 8 pagi tadi, sebanyak 27 stesen hidrologi di Guangdong berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Berdasarkan rakaman video yang disiarkan oleh media kerajaan, angin kencang seperti taufan memusnahkan bangunan di wilayah Guangxi iaitu barat Guangdong dan beberapa kawasan turut mengalami hujan batu dan banjir besar.

Dalam rakaman video berkaitan, pasukan penyelamat dilihat sedang cuba menyelamatkan seorang warga emas yang berpaut pada pokok yang telah separuh tenggelam akibat banjir. - REUTERS

Berita Harian X