Ahad, 21 April 2024 | 12:43pm
Majlis Keselamatan PBB. - Foto AFP
Majlis Keselamatan PBB. - Foto AFP

Israel panggil duta negara yang mengundi Palestin jadi anggota PBB

BAITULMAQDIS: Israel akan memanggil duta negara yang mengundi keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi sesi rundingan bantahan.

Menurut Jurucakap Kementerian Luar Israel, Oren Marmorstein, ia susulan Pihak Berkuasa Palestin akan mempertimbangkan semula hubungannya dengan Amerika Syarikat (AS) selepas Washington memveto bidaan keahlian Palestin, awal minggu ini.

Beliau berkata, kementerian itu akan memanggil untuk rundingan bantahan duta negara yang mengundi dalam Majlis Keselamatan bagi memihak kepada menaik taraf status rakyat Palestin di PBB.

Jurucakap Kementerian Luar Israel, Oren Marmorstein.
Jurucakap Kementerian Luar Israel, Oren Marmorstein.

"Duta Besar Perancis, Jepun, Korea Selatan, Malta, Republik Slovak dan Ecuador akan dipanggil esok dengan bantahan keras akan dikemukakan kepada mereka. Bantahan sama akan dikemukakan kepada negara tambahan.

"Mesej jelas yang akan disampaikan kepada duta besar ialah isyarat politik kepada rakyat Palestin dan gesaan untuk mengiktiraf negara Palestin adalah hadiah untuk keganasan," katanya melalui aplikasi X.

Sesi undian Khamis lalu menyaksikan 12 negara dalam Majlis Keselamatan PBB menyokong resolusi yang mengesyorkan keanggotaan penuh Palestin manakala Britain dan Switzerland, berkecuali.

Hanya AS iaitu sekutu tegar Israel, mengundi bagi menentang dengan menggunakan kuasa vetonya untuk menyekat resolusi itu.

Draf resolusi itu mengesyorkan kepada Perhimpunan Agung supaya negara Palestin diterima menjadi ahli PBB sebagai ganti status 'negara pemerhati bukan anggota' semasa, sejak 2012.

Sebanyak 137 daripada 193 negara mengiktiraf negara Palestin. -AFP

Berita Harian X